11 February 2008

Perubahan?

Memartabatkan sektor pendidikan
11-02-2008 10:40:22 AM

KUALA LUMPUR: Modal insan dan sektor pendidikan amat rapat pertaliannya.Jika modal insan yang berkualiti disifatkan sebagai elemen paling kritikal dalam mencapai Misi Nasional, pendidikan pula merupakan suatu sektor penting dalam agenda pembinaan negara bangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi amat berhasrat untuk melihat aspek pendidikan diberikan nafas baru secara holistik.
Ini kerana pembangunan modal insan juga bertitik tolak daripada pelaksanaan sistem pendidikan yang terancang rapi.

Beliau telah menekankan usaha untuk memperkasa sistem pendidikan negara dengan membuat beberapa perubahan besar memandangkan pendidikan adalah tonggak utama pelaksanaan modal insan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
Menjelang tahun 2010 Kerajaan menyasarkan negara akan mempunyai nisbah 50 penyelidik bagi setiap 10,000 tenaga kerja.
Ini bermakna Malaysia akan mempunyai sejumlah penyelidik setaraf dengan negara-negara yang diiktiraf sebagai negara maju.

PIPPMelalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang telah dimulakan pelaksanaannya pada 2006 dan akan berakhir pada 2010, ia akan dijadikan garis panduan pembangunan pendidikan negara secara menyeluruh bagi tempoh lima tahun untuk membangunkan sekolah kebangsaan sebagai aliran perdana.
Manakala sekolah-sekolah aliran lain pula tidak akan dipinggirkan.
Bagi menjana pendidikan berkualiti untuk semua, Kementerian Pelajaran diarah oleh Perdana Menteri untuk mengenal pasti pendekatan baru bagi mencapai objektif yang dihasratkan.
Justeru, pendekatan baru telah dilakukan untuk memastikan rakyat mendapat peluang pendidikan yang adil dan saksama sekali gus menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
Pendekatan lain turut dilakukan untuk memberi perhatian khusus ke atas sekolah yang telah mencapai tahap cemerlang, supaya terus mampu mengekalkan kecemerlangan ke tahap yang lebih tinggi.
Demi merancakkan lagi usaha membangunkan modal insan dalam tempoh yang panjang, pelbagai langkah telah dirancang.

STRATEGISebanyak lapan strategi dikenal pasti untuk mengukuhkan pendidikan negara dalam tempoh lima tahun sepanjang pelaksanaan RMK9. Strategistrategi itu ialah:

1. Membina negara bangsa melalui pendidikan yang bertujuan melahirkan rakyat yang berfikiran glokal, patriotik dan cintakan negara serta menjunjung warisan budaya dan kesenian bangsa sejak dari peringkat awal persekolahan.
Hasrat ini akan dilaksanakan melalui kaedah;
* memperkasakan bahasa Melaya,
* meningkatkan disiplin pelajar,
* menggiatkan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)
* menggiatkan kokurikulum dalam sukan.

2. Memberi tumpuan kepada aspek nilai, disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar bagi melahirkan tenaga kerja yang kompetens dalam sains dan teknologi, inovatif, kreatif serta boleh dipasarkan di pasaran kerjaya.

3. Memperkasakan sekolah kebangsaan (rendah dan menengah) agar sekolah-sekolah itu menjadi pilihan rakyat. Sekolah kebangsaan akan dilengkapkan dengan kemudahan pendidikan yang mencukupi, berkualiti, terkini dan dengan adanya guru terlatih mengikut opsyen serta bilangan staf sokongan berdasarkan keperluan.

4. Berusaha merapatkan jurang pendidikan dengan membangunkan infrastruktur dan kemudahan khususnya di luar bandar, Sabah dan Sarawak; selain memperbanyakkan bantuan kepada pelajar miskin, kumpulan pelajar yang memerlukan keperluan khas, kumpulan minoriti, mengurangkan jurang digital serta menempatkan guru terlatih.

5. Memartabatkan profesion perguruan bagi memastikan profesion itu dihormati dan dipandang tinggi sesuai dengan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam pembinaan generasi akan datang.

6. Menaikkan taraf maktab perguruan kepada institut pendidikan guru bagi meningkatkan kelayakan guru ke peringkat ijazah.

7. Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan dengan membentuk bahagian kecemerlangan sekolah berasaskan akademik, kokurikulum dan sukan atau bidangbidang khusus yang lain.

8. Sekolah terpilih akan dirangkaikan dengan institusi ternama tempatan dan luar negara dengan menawarkan pelbagai peperiksaan peringkat antarabangsa seperti International Baccalaureate serta dijadikan sekolah contoh.

PROGRAM LONJAKAN PERDANA
Usaha juga sedang dilakukan untuk menterjemahkan pelaksanaan Program Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar bagi meningkatkan kualiti pendidikan di luar bandar dalam usaha mengurangkan keciciran di kalangan pelajar desa serta memartabatkan perkhidmatan perguruan luar bandar.
Untuk itu beberapa langkah telah diambil; antaranya:
* Membina 2,400 bilik untuk manfaat 61,000 kanak-kanak
* Menyediakan latihan kepada guru pra sekolah
* Memperbaiki kemudahan asas seperti elektrik 24 jam untuk 900 buah sekolah* Bekalan air bersih kepada 1,500 sekolah
* Menyediakan kemudahan komputer
* Membina asrama baru atau menambah asrama untuk 280,000 pelajar
* Menyediakan kelengkapan web tv
* Sistem komunikasi telefon satelit dan fax tanpa talian

Bagi memperkasa pendidikan, Perdana Menteri amat komited untuk melihat kejayaan mengimbangi jurang ketara yang terdapat selama ini di sekolah-sekolah bandar dan luar bandar.
Hasrat beliau untuk melihat mutu pembelajaran dengan pelbagai kemudahan yang seimbang antara bandar dan luar bandar akan mempertingkatkan martabat sekolah-sekolah di desa dan sekolah ini akan terus diperkasakan.
Biarpun perbelanjaan yang telah dan akan dikeluarkan terlalu besar, namun bidang pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang sentiasa ditekankan oleh Perdana Menteri demi kepentingan rakyat keseluruhannya. BERNAMA