17 May 2007

Selamat Hari Guru 16 Mei

Insan cemerlang hasil didikan guru cemerlang
17-05-2007 01:25:34 PM

SAYA mewakili Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya mengucapkan selamat Hari Guru dengan tema baru ''Guru Penjana Modal Insan Cemerlang'' kepada semua guru dan tenaga pengajar di seluruh negara terutamanya para pensyarah yang bertugas mengajar tanpa kenal penat.

Saya menyedari bahawa semua pensyarah dan para guru di seluruh dunia merupakan golongan mulia kerana mereka boleh dikatakan perantara antara ilmu Allah/Tuhan dengan manusia. Mereka umpama lilin yang membakar dan menyusahkan diri saban waktu memikirkan kecemerlangan para pelajar seperti kami sebagai mahasiswa atau pelajar.

Dalam hal ini jelas bahawa menurut kepercayaan Islam kedudukan orang yang berilmu ini ditinggikan oleh Allah SWT dengan beberapa darjat berbanding golongan lain.
Kedudukan orang berilmu ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan (Allah SWT meninggikan) orang yang diberikan ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan
(Surah al-Mujadalah, ayat 28
).

Sabda Rasulullah SAW, bermaksud:
dan sesungguhnya kelebihan orang berilmu berbanding orang ibadah adalah seperti kelebihan bulan berbanding kesemua bintang-bintang dan sesungguhnya ulama (orang berilmu) itu merupakan pewaris para nabi.
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Bahkan antara golongan berilmu dengan orang tidak berilmu itu tidaklah sama sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pengajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna. (Surah Az-Zumar, ayat 9).

Saya juga memahami bukan mudah berada di dalam dunia perguruan dan dunia akademik. Para pensyarah sudah pasti menghadapi permasalahan yang tersendiri dalam memastikan pengaliran maklumat kepada generasi baru berjalan lancar. Cabaran mendidik dan melahirkan mahasiswa yang dapat diharapkan kelak memang tidak dapat dinafikan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Orang yang berilmu dan penuntut ilmu saling bersekutu di dalam memperolehi kebaikan, tiadalah kebaikan yang banyak bagi manusia selaian mereka.
(Riwayat Ibn Majah).

Inilah antara kelebihan apabila berkecimpung dalam dunia kesarjanaan ini.

Dalam pada itu saya ingin sertakan juga sajak yang yang menyentuh hati hasil karya
Tokoh Sasterawan Negara, Dato' Usman Awang yang terkenal dengan nama penanya, Tongkat Warrant, iaitu:

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasaJ

ika hari ini seorang
Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG1979

Semoga semua pensyarah dan tenaga pengajar terus berada dalam keredaan Allah dan komited memperluaskan ilmu kepada pewaris baru kelak. Walaupun mungkin terdapat pelajar yang melupai para guru sekalian, namun tetap ada golongan yang konsisten mengingati jasa besar kalian, insya Allah.

12 May 2007

Pemergian Ayah - Al-Fatihah


Al-Fatihah .Ayah telah pergi ke Rahmatulallah pada 12 Mei 2007 subuh antara 5 hingga 6 pagi di Hospital Besar Kuala Lumpur. Pada 8 Mei ayah membuat pemeriksaan di HBKL kerana mengalami sesak nafas dan dimasukkan kewad pada hari yang sama. Doktor mengesahkan paru-paru ayah berair dan proses membuang air diparu-paru telah dilakukan. Doktor mengesyaki penyakit ayah telah melarat ke paru-paru.

Selama empat hari ayah terlantar di hospital dan Teh setia menjaga dan menemani ayah. Ayah pulang kerahmatulallah pada subuh 12 Mei. Selama ini ayah hidup sendirian , ayah pergi pun sendirian tanpa sesiapa disampingnya. Ayah disahkan telah tiada ketika Teh menunaikan solat subuh di surau hospital. Takdir Allah menentukan tiada anak-anak yang menemani ayah disaat-saat akhir hayatnya didunia ini. Doktor mengesahkan kemungkinan ayah pergi dalam tidurnya.

Ampunkan dosa kami ayah. Semoga Allah megampunkan dosa-dosa ayah dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Moga dipermudahkan segala urusan dialam kubur. Apa yang pasti adik yang suci bersih daripada segala dosa ada menunggu ayah disana. Apakah ayah akan dipertemukan dengan emak disana? Hanya Allah yang tahu. Nasib kami bagaimana pula?

11 May 2007

Sayangi Diri Kita Sendiri

Jaga berat badan, aduhai orang Malaysia!11-05-2007 03:19:09 PM Oleh JESWAN KAUR
KUALA LUMPUR: Warga Malaysia seharusnya berasa bimbang, jika tidak berasa malu, dengan rintihan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang kerajaan tidak boleh menjaga kesihatan setiap orang.
Warga Malaysia sendiri perlu menjaga kesihatan masing-masing dan kata kunci di sini ialah disiplin diri. Malangnya ini bukan satu sifat peribadi yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia.
Keluhan Dr Chua adalah susulan kepada laporan yang menunjukkan Malaysia sebagai negara dengan bilangan terbesar golongan obes di rantau Asia, iaitu 25 peratus daripada penduduknya.
Bukan setakat itu sahaja bilangan mereka yang gemuk di Malaysia melampaui bilangan di Jerman dan Perancis. Selain itu bilangan mereka yang obes telah berganda sejak 10 tahun yang lepas.
Adakah ia satu kes Malaysia Boleh? Ya, tetapi bagi tujuan yang bermanfaat.
Menurut Dr Chua, jika rakyat Malaysia tidak membetulkan tabiat makan tanpa had mereka, negara akan menghadapi "epidemik" penyakit-penyakit yang berkaitan dengan berat badan dalam dekad akan datang.
Daripada penduduk seramai 26 juta orang, enam juta warga dewasa mempunyai berat badan berlebihan dan dianggap sebagai obes. Dan tahap obesiti di kalangan warga dewasa meningkat tiga kali ganda dalam tempoh kurang daripada 10 tahun, meningkat daripada 4.4 peratus pada 1996 hingga 12.2 peratus pada 2003.
Sebab untuk bimbang Satu tinjauan yang dijalankan oleh penyelidik pasaran TNS Asiapanel pada tahun lepas mendedahkan yang 38 peratus daripada suri rumah Malaysia mengalami berat badan berlebihan, yang tertinggi di kalangan lima negara Asia termasuk Taiwan, Thailand, Vietnam dan Korea Selatan.
Menangani obesiti merupakan keutamaan kerana jika ia dibiarkan tanpa terkawal ia boleh membawa kepada penyakit-penyakit kronik yang lain seperti diabetes, strok, sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan pundi hempedu.
Diabetes, strok dan penyakit-penyakit gaya hidup lain lebih baik dicegah kerana mahal untuk merawatnya. Menurut Dr Chua, lebih satu juta warga Malaysia menghidap diabetes sementara bilangan pesakit yang dimasukkan ke wad-wad hospital kerajaan oleh kerana komplikasi diabetes telah meningkat 100 peratus daripada 21,872 orang pada 1995 kepada 41,375 orang pada 2005.
Kementerian juga memberi amaran yang berjuta-juta rakyat Malaysia di bawah umur 40 boleh mengalami penyakit-penyakit kronik dan strok, khasnya kerana amalan pemakanan tidak sihat, tabiat merokok dan gaya hidup yang mengehadkan pergerakan mereka.
Lebih kurang 2.3 juta perokok dan 8.4 juta orang yang mengelakkan senaman menghadapi risiko segera daripada diabetes, darah tinggi, strok dan penyakit jantung.
Terdapat lebih banyak lagi statistik -- lebih daripada 10,000 warga Malaysia meninggal dunia setiap tahun kerana sakit jantung dan kegagalan buah pinggang. Tiga juta mengalami kolesterol tinggi sementara 2.1 juta lagi menghidap diabetes. Dan setiap hari, 110 warga Malaysia diserang strok, pembunuh ketiga di negara ini selepas barah dan sakit jantung.
Lebih 40,000 kes baru barah dilaporkan setiap tahun. Apa lagi, hanya enam daripada setiap 100 orang dapat mengawal tekanan darah mereka.
Alasan utama di sebalik angka-angka penyakit yang terus meningkat ini ialah sikap "hidup untuk makan" dan tidak hiraukan senaman.
Senaman atau teh tarik? Sampai bilakah rakyat Malaysia akan terus mengabaikan kesihatan mereka dan mendera tubuh mereka hanya kerana mahu memuaskan selera mereka.
Pelbagai kempen kesihatan yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan tidak banyak menunjukkan kejayaan dalam menangani masalah warga Malaysia yang obes. Nampaknya warga Malaysia sanggup berbuat apa sahaja untuk menikmati teh tarik dan nasi lemak mereka, sehinggakan mereka mengetepikan diet dan senaman.
Di sebalik melakukan senaman, rakyat Malaysia lebih rela duduk di kedai atau warung mamak dan menghirup teh, dan itupun pada bila-bila masa sepanjang hari.
Malangnya, apabila memilih antara senaman dan teh tarik panas, ramai akan memilih minuman itu. Senaman sering diketepikan dan dilupakan. Hanya apabila pemeriksaan doktor mendedahkan mereka mengalami kolesterol yang tinggi, yang boleh mengganggu kesihatan jantung, baru mereka mula berfikir.
Ada kalanya, sedikit "paksaan" boleh membantu. Sebagai contoh, majikan boleh mewajibkan senaman sebelum mula kerja. Jika tidak, tiada harapan untuk melihat mereka, khasnya golongan muda, melakukan senaman dan menjalani gaya hidup sihat.
Sayangilah tubuh sendiri Tiada siapa yang dilarang daripada mengisi perut mereka tetapi pada masa yang sama otot tubuh juga tidak boleh dilupakan. Malaysia, seperti yang diketahui, adalah syurga makanan tetapi demi kesihatan tubuh sila kurangkan sedikit makanan goreng yang kaya dengan kolesterol dan lemak.
Dan gaya hidup sihat juga memerlukan sedikit masa untuk memikirkan apa yang kita telah lakukan selama ini dan yang akan kita lakukan. Yang lebih penting ialah untuk sentiasa ingat yang kita makan untuk hidup dan bukan hidup untuk makan -- dan ini memerlukan disiplin! BERNAMA