26 September 2010

Terasa Dekat


Salam,

Syawal sudah sampai kepenghujung. Ralat saya masih berbaki. Begitulah hati manusia, sentiasa mengenang apa yang terlepas. Insya-Allah dengan izinNya moga saya diberi peluang,rezeki,kesihatan dan umur dipertemukan dengan Ramadhan tahun hadapan.

Pada 29Ramadhan saya dikejutkan dengan pemergian NHA untuk selama-lamanya.Saya tidak dapat menahan sebak dan tidak percaya dengan berita yang diterima, perasaan takut,sebak,seram-sejuk dan berdebar-debar muncul tiba-tiba.Saya berasa kematian itu sangat dekat dengan saya. Kami sebaya, pernah makan tidur baring bersama,bergossip yang bukan-bukan dan berkongsi luahan hati dan perasaan masing-masing. Sempat juga NHA bercuti ke Stockholm. Berkali-kali dia memberitahu saya, dia datang hanya kerana saya beria-ia mengajaknya datang bercuti kerumah saya. Sempat juga kami berjumpa ketika saya pulang bercuti awal Januari lepas. Tidak sangka itu pertemuan terakhir kami.
Sekembali dari bercuti kami sempat bersembang dialam siber dan NHA memberitahu tentang kebahagiaan yang dinikmatinya. Saya tumpang gembira atas berita ini. Dengan slogan 'dare to change' NHA melahirkan kegembiraan yang luarbiasa. Gembira kerana solatnya berimam dan bacaan Al-Qurannya ada yang menyemak betul dan salah.
Kali akhir saya menerima email NHA bertanya pendapat bagaimana jika dia bercuti tanpa gaji mengikut suami balik kenegaranya. Bebanan kerja yang tidak berkesudahan dan ketua yang tidak menyokong anak buah memberi tekanan yang amat hebat. Saya cuma memberi nasihat, pastikan segala hutang rumah dan lain-lain diselesaikan sebelum membuat keputusan untuk berhijrah, disamping perlu persediaan mental. NHA sangat berterima kasih atas segala nasihat yang diberi. Tidak lama selepas itu saya diberitakan NHA pengsan dan koma. Disitulah berakhirnya.

Benarlah, ajal itu datang tanpa boleh dilewatkan walaupun sesaat.
Apabila saya teringatkan NHA terasa kematian itu sangat dekat.
Saya masih belum bersedia.

20 September 2010

Ralat


Salam,

Banyak perkara yang saya ralat. Ramadhan berlalu terlalu cepat. Sebelum Ramadhan saya berazam untuk menjadi jutawan tetapi sehingga kehari terakhir Ramadhan suku jutawan pun tidak. Semoga saya diketemukan Ramadhan pada tahun akan datang.