Showing posts with label winter 2007. Show all posts
Showing posts with label winter 2007. Show all posts

13 February 2007

Cuaca oh cuaca




Hari ini salji turun sejak pukul 7.30 pagi. Walaupun salji turun tidak lebat tetapi berterusan, laman hijau yang telah mula kelihatan , ditutupi salji kembali. Pada 10 Febuari suhu jatuh sehingga -13 darjah. Keadaan begini menyebabkan rasa malas yang teramat sangat.

25 January 2007

Sejukkk

Semalam 24 Januari suhu jatuh sehingga -11 darjah. Sepanjang minggu ini dijangkakan salji akan turun berpanjangan tetapi alhamdulillah salji turun tidak lebat. Salji lebat yang turun awal minggu lalu masih lagi kekal memutih dimerata-rata. Pokok-pokok semuanya diliputi salji. Pemandangan pokok-pokok, bukit-bukit dan setiap inci bumi yang dilputi salji yang memutih bak kapas sangat cantik dan menenangkan perasaan, lebih-lebih lagi selepas melalui musim luruh yang kelam, suram dan seram.
Musim luruh yang kelam dan gelap benar-benar mempengaruhi emosi menjadi resah tanpa sebab. Diri terasa lemas dan sesak.
Namun begitu keadaan pemandangan yang memutih dan menenangkan ini diikuti sejuk yang teramat sangat. Adakah sebagai manusia kita ini tidak tahu bersyukur dan sentiasa mencari-cari keburukan pada sesuatu keadaan? Kenapa kita tidak bersyukur dan redha menerima segalanya sebagai tanda kebesaran Allah Taala dan belajar menerima sesuatu tanpa merungut? Fikir-fikirkanlah!
Keadaan sekeliling rumah putih dilitupi salji yang sudah mula mengeras dan cair yang menyebabkan keadaan menjadi licin. Bagi mengelakkan keadaan yang sangat licin, garam ditabur supaya ais yang keras lebih cepat cair dan ini memudahkan untuk berjalan kaki serta megurangkan kelicinan jalanraya bagi kenderaan. Akibat daripada garam yang ditabur menjadikan kereta cepat berkarat jika tidak dicuci segera. Inilah cabaran dan pengalaman tinggal dinegara empat musim ini.

21 January 2007

Salji tebal

Bangun saja tidur pagi ni terlihat salji yang memutih. Sejak petang semalam salji turun dengan lebatnya sehingga kepagi agaknya. Betul seperti ramalan cuaca, pada hari Ahad salji setinggi 23cm.
Pada musim sejuk di Stockholm kali ini salji turun agak lambat dari tahun-tahun sebelumnya. Kebiasaannya salji turun sebelum atau selepas Krismas atau sebelum menyambut tahun baru. Akibat daripada cuaca global yang tidak menentu Sweden tidak terkecuali. Cuaca global yang semakin panas menyebabkan salji tidak turun di negara-negara sebelah eropah sebagaimana sepatutnya. Banyak ski resort yang terpaksa membatalkan tempahan dan ditutup akibat daripada ketiadaan salji.
Sebaik keluar daripada rumah ternampak seekor burung mati dibawah kereta, mungkin mati akibat kesejukan . Aku mengambil kesempatan menangkap gambar dan merakam video sepuas-puasnya. Abang terpaksa membuang salji-salji yang menutupi jalan dihalaman rumah, jika tidak kereta tidak boleh keluar. Haa..abang sempat berposing dengan senyumanya yang manis tu...

Pada sebelah tengahari membawa Nina dan Adam ke rumah Maya dan En Ismail yang terletak di Sollentuna untuk bermain slide/luncur menggunakan sledge ditepi bukit bersebelahan tasik. Trek untuk bermain slide di sana panjang dan landai. Mereka ditemani Nabil, selepas puas bermain slide mereka membuat snowman ditepi rumah. Sedar tak sedar hari dah senja. Pukul 5 petang balik ke rumah di Spanga.

Salji turun jua

Hari ini, Sabtu 20 Jan 2007 mencatatkan suhu paling sejuk sepanjang musim sejuk di Stockholm kali ini. Malam tadi suhu jatuh sehingga -6 dan sebelah pagi -4. Pada pukul 11 pagi membawa Nina dan Adam bermain luncur ais di Kungstragarden menggunakan kasut ice skating yang baru dibeli minggu lepas. Sanggup bertahan sehingga 12.45 sahaja. Pada pukul 8 malam salji turun dengan lebat. Seronok melihat persekitaran rumah yang putih dilitupi salji. Suasana yang suram dan kelam bertukar menjadi cerah dengan keputihan salji yang memancar dan bersinar-sinar diterangi cahaya lampu. Pokok-pokok yang telah togel sekian lama, dilitupi salji disetiap dahan dan ranting menjadikan pemandangan begitu cantik dan ceria.