28 June 2017

Empat Syawal 1438H

Salam,

Diam tak diam hari ini telah masuk 4 Syawal 1438 bersamaan Rabu 28 Jun 2017. Sekejab sangat. Memandangkan kami disini tidak ada tempat untuk berziarah raya dan tidak ada cadangan untuk bercuti kemana-mana , kami berdua ambik keputusan untuk berpuasa enam bermula semalam. Jika tiada apa-apa aktiviti yang melibatkan jamuan yang wajib dihadiri, insya Allah akan berpuasa secara terus enam hari. Yang harus boleh ditolak, memandangkan ibadat sunat ini lebih penting. Mudahkan.

Aku bersyukur sangat, pertama kali beraya tanpa Nina dan Adam, orang Istanbul sudi datang dan bermalam di rumah. Dengan kehadiran mereka dua keluarga bersama anak-anak , benar-benar mengisi ruang kosong di rumah kami. Alhamdulillah. Mereka datang bukan saja membawa diri tetapi dengan juadah raya sekali. Adat amalan hidup di perantauan. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Hari terakhir bulan Ramadan pada tahun ini 1438H, menu berbuka puasa sangat ringkas iaitu Nasi Ayam, bihun goreng dan sup gearbox. Cadangan menu ringkas pada malam itu kerana  kami ibu-ibu akan menyediakan juadah untuk hari raya keesokkan harinya. Menu raya kami ialah, nasi minyak, dalca,  acar mentah,pulut kuning, rendang ayam dan daging, ayam masak merah, nasi impit dan kuah kacang, soto ayam dengan bihun, nasi impit dan spahgetti, lotong, sop gearbox. Itu makanan utama. Penyediaan makanan dibuat secara gotong-royong dan potluck. Disamping itu ada yang membawa kek, rempeyek, biskut dan lain-lain kudapan. Sungguh banyak makanan dan meriah.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun terdapat sedikit kekurangan dalam perjalanan majlis.Ini merupakan projek sulung sambutan raya disini. Insya Allah melalui pengalaman pertama sambutan akan datang boleh diperkemaskan lagi dari segi program dan pengurusannya. Insya Allah. Moga segala usaha murni ini diberkati olehNya.

25 June 2017

1 Syawal 1438H Ankara



Salam,

Hari ini  Ahad 25.6.2017 bersamaan 1 Syawal 1438 H , Hari Raya Aidilfitri  di bumi Ankara. Alhamdulillah settelah berpuasa selama 29 hari kami menyambut hari kemenangan bersama-sama sebahagian pelajar dan rakyat Malaysia yang berada Turki. Walaupun bilangan kurang dari 100 orang tapi sambutan meriah. Walaupun penat tapi berbaloi. Semuanya memberi kerjasama yang padu. para pelajar bersedia membantu tanpa apa-apa ganjaran. Apa yang mereka dapat hanyalah kegembiraan bersama-sama menyambut lebaran di perantauan.

Ramadan hari kedua puluh sembilan Ankara

 Salam,

Hari ini Sabtu 24.6.2017 bersamaan 29 Ramadan 1438H. Fajar hari ini pada pukul 3.16 pagi dan waktu Maghrib pada pukul 8.29 malam. Hari ini hari terakhir Ramadan al-Mubarak. Esok, 1 Syawal 1438H, hari kemenangan setelah sebulan berpuasa.

Bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfiti, orang Malaysia yang bekerja di Istanbul bercadang untuk turun ke Ankara untuk meraikan hari raya bersama-sama. Bukan datang sebagai tetamu tetapi sebagai keluarga yang balik kampung untuk beraya bersama-besama. Memang saya teruja, kebetulan mereka menyatakan hasrat untuk bermalam di rumah kami. Hati saya sedikit gembira memandangkan ini kali pertama kami beraya berasingan , Nina di Malaysia dan Adam di Indiana.

Pada hari sabtu dari pagi menyediakan juadah untuk berbuka, menunya ringkas Nasi Ayam sahaja kerana pada sebelah malam selepas berbuka kami perlu menyediakan juadah untuk Hari Raya. Memang sangat meletihkan namaun ada rasa ria dihati. itulah indahnya hidup diperantauan apabila silaturahim diberi keutamaan.

23 June 2017

Ramadan hari kedua puluh lapan Ankara


Salam,

Hari ini 23.6.2017, hari  Jumaat al-mubarakah penghulu segala hari, Jumaat terakhir pada bulan Ramadan tahun ini iaitu bersamaan  28 Ramadan 1438H. Fajar pada pukul 3.17 pagi dan masuk waktu Maghrib pada pukul 8.29 malam. Suhu di Ankara hari ini antara 12 hingga 29 darjah . Cuaca cerah dengan matahari yang memancar-mancar sejak pagi tadi.

Dalam mengejar 10 malam terakhir masih banyak ruang kosong yang tidak terisi dengan ibadat-ibadat sunat. Bukan mudah mendisiplinkan diri bagi memastikan diri tidak alpa dalam mengingatiNYA, mengaut sebanyak mana tawaran yang diberikan selama sebulan. Benar..hidayah hanya milikNYA. Moga-moga segala amalan yang dilakukan dari bermula Ramadan hingga kehari ini diterima dan diredhai olehNya. Kita hendaklah bersangka baik kepadaNYA.

Tanggal 28 Ramadan,  perginya ayahbonda mertua secara serentak di Madinah Munawwarah bersama 14 orang lagi jemaah umrah yang terlibat didalam kemalangan maut yang mengorbankan semua jemaah umrah seramai 16 orang. Jika dilihat secara zahirnya, pemergian mereka didalam bulan Ramadan, 10 hari terakhir yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam, dengan niat menrjakan ibadat umrah, didalam niat dan pakaian ihram menuju ke rumah Allah Baitullah. Kawasan kemalangan yang masih lagi didalam lingkungan Madinah, mereka semua disemadikan diperkuburan Baqi'. Allahu akbar!! Apalagi yang hendak difikirkan. Allah Maha Besar dan Maha Mengetahui Segala-galanya.

Ya, kami kehilangan keduanyanya secara serentak, pemergiannya akibat daripada kemalangan, tetapi jika difikirkan itu hanyalah cara penyebab kematiannya. Segala-galanya ditakdirkan oleh Allah Taala yang ramai orang impikan, pergi didalam ibadat semata-mata kerana Allah SWT. Al-Fatihah. Insya Allah muga kami bertemu semula disana, di taman-taman syurga  . Amin.

22 June 2017

Ramadan hari kedua puluh tujuh Ankara


Salam,

Hari ini Khamis 22.6.2017 bersamaan dengan 27 Ramadan 1438 H. Fajar hari ini pada pukul 3.16 pagi dan Maghrib pada pukul 8.29 malam. Cuaca mendung dengan suhu antara 13 hingga 27 darjah. Syukur kepadaMu ya Allah, memberi kemudahan nikmat cuaca yang sangat selesa untuk berpuasa sepanjang bulan Ramadan. Bagaimanakah untuk tidak bersyukur lagi dengan segala kurniaan ini.

Meskipun hari ini keluar untuk mebeli barang-barang persiapan berbuka untuk hari terakhir Ramadan dan  sambutan Aidilfitri, sedikitpun tidak terasa penat, lapar dan dahaga.

21 June 2017

Ikhlas dan Mengikhlaskan


Salam,

Perkataan ikhlas ni kita boleh jumpa dimana-mana. Ikhlas, hanya enam huruf, pendek tapi maknanya sangat besar dan mendalam. Bila disebut ikhlas maknanya kita membuat atau memberi sesuatu dengan tanpa meminta atau mengharap apa-apa balasan dalam apa jua bentuk. Sama ada balasan dalam kata-kata pujian atau habuan dalam bentuk material. Ya tidak ada! apabila kita dah katakan ikhlas. Namun dalam praktiknya sejauh mana ia dipraktikkan dalam masyarakat,  khususnya masyarakat kita Melayu. Menurut Frank Swettenham yang menulis mengenai sifat-sifat Melayu dalam bukunya Malay Sketches @ Perihal Orang Melayu, antara sifat Melayu ni, jika dia memberi atau melakukan sesuatu dia mengharapkan pulangan atau balasan. Betulkah begitu?

Pada pandangan saya betul. Saya sebagai Melayu mengakui apa yang ditulis oleh Frank Swettenham itu hampir tepat. Oleh itu marilah kita belajar dan mendidik hati kita menjadi ikhlas dan kita mengikhlaskan apa yang orang buat terhadap kita. Tidak perlu mengharap apa-apa. Noktah!. Ikutlah ajaran Islam yang menyarankan apabila kita ikhlas, seolah-olah tangan kanan yang memberi tangan kiri tidak tahu. Ikhlas, semata-mata kerana Alalh. Oleh itu hanya Allah sahaja yang tahu. Alalhukalam.


Ramadan hari kedua puluh enam Ankara


Salam,

Hari ini Rabu 21.6.2017 bersamaan 26 Ramadan 1438 H. Fajar hari ini pada pukul 3.16 pagi dan maghrib pada pukul 8.29 malam. Suhu hari ini antara 11- 24 darjah. Cuaca hari ini mendung dan hujan renyai sekali sekala. Sejak Isnin lalu cuaca begini. Bagi yang berpuasa cuaca begini sangat menyenangkan.

Ramadan yang diikuti jadual yang penuh tidak terasa berlalu terlalu pantas. Ada hajat yang masih tidak kesampaian. Insya Allah dengan hari yang masih berbaki akan diusahakan sedaya mungkin.

20 June 2017

Ramadan hari kedua puluh lima Ankara

Salam,

Hari ini Selasa 20.6.2017 bersamaan 25 Ramadan 1438H. Fajar hari ini pada pukul 3.16 pagi dan maghrib pada pukul 8.28 malam. Suhu di Ankara hari ini antara 10 hingga 22 darjah. Sejak semalam mendung dan kadang-kadang hujan. Pada sebelah tengah hari semalam hujan agak lebat. Cuaca pagi ini mendung, redup dan matahari seakan-akan malas nak keluar. Mungkinkah malam tadi malam lailatul qadar. Allahuaklam.




19 June 2017

Beradab, Adab Melayu


Salam,

Hari ini aku nak cerita sikit pasal adab melayu  dan beradab. Bila sebut saja adab , mesti kita terus terfikir perkara yang baik. Dalam masyarakat Melayu, adab ini diajar sejak dari kecil lagi. Adab makan, adab dengan orang tua, adab bercakap , adab di rumah ,luar rumah dan lain-lain lagi. Pokoknya bila sebut aje Melayu sudah sinonim dengan adab. Tetapi...adakah adab ini masih ada di zaman sekarang? Adakah masih boleh dikatakan Melayu suatu bangsa yang tinggi adabnya?

Naik cuak membaca media b maya atau media cetak. Sebab, rata-rata terserlah ketiadaan adab Melayu.

Ramadan hari kedua puluh empat Ankara


Salam,

Hari ini Isnin 19.6.2017 bersamaan 24 Ramadan 1438 H. Fajar hari ini pada pukul 3.16 pagi dan Maghrib 8.28 malam. Sejak malam tadi hujan. Cuaca  pagi ini mendung dan hujan renyai-renyai dengan suhu antara 11 hingga 22 darjah.

Masuk sepuluh hari terakhir Ramadan ini terasa cepat mengantuk dan tidur dengan lena tanpa terjaga ditengah malam. bangun untuk sahur pun dengan keadaan penat dan mengantuk. Ini semua dugaan penghujung Ramadan. Lagi berniat untuk lebih beribadat di hari-hari terakhir ini, lagi berat hati dan badan untuk melakukannya.

18 June 2017

Ramadan hari kedua puluh tiga Ankara


Salam,

Hari ini Ahad 18.6.2017 bersamaan 23 Ramadan 1438. Fajar hari ini pada pukul 3.16 pagi dan Maghrib pada pukul 8.28 malam. Suhu antara 14 hingga 26 darjah. Cuaca pagi ini mendung .

Hari ini genap sepuluh bulan kami di bumi Ottoman. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Cuma rindu yang sarat, separuh nyawa di Purdue separuh lagi di Putrajaya.

Ramadan hari kedua puluh dua Ankara


Salam,

Hari ini Sabtu 17.6.2017 bersamaan 22 Ramadan 1438. Fajar hari ini pada pukul 3.16 pagi dan Maghrib pada pukul 8.27 malam. Suhu hari ini antara 12 hingga 29 darjah. Sebelah petang agak terik.

Berkira-kira dengan persiapan iftar dan  raya. Membeli 12 ekor ayam untuk persiapan Iftar Jamaie terakhir pada tahun ini yang jatuh pada hari Sabtu 24.6.2017. Semoga segala persiapan berjalan lancar dengan kudrat yang terhad. Moga Allah merahmati dan memudahkan segala urusan untuk niat yang murni ini.Amin.

16 June 2017

Baik, Baik-baik


Salam,

Buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Indahnya orang dulu-dulu berbahasa. marilah sama-sama kita fikr yang baik-baik, cakap yang baik-baik, bersangka yang baik-baik. Insya Allah jika segalanya baik, natijahnya baik-baik belaka. Bersangka baik dengan segala aturan dan perancangan Allah SWT. Tiada yang baik melainkan segalanya baik-baik belaka. Ada hikmah dan rahmah yang tersurat dan tersirat. Jom...amalkan perkara baik, hasilnya mesti baik-baik belaka.

Ramadan hari kedua puluh satu Ankara


Salam,

Hari ini 16.6.2017 Jumaat, penghulu segala hari dan hari yang berkat, bersamaan hari kedua puluh satu Ramadan 1438H. Suhu hari ini antara 11 hingga 26 darjah. Tidak terlau sejuk dan tidak terlalu panas. Cuaca yang sangat sesuai untuk berpuasa yang panjang. Fajar pada pukul 3.16 pagi dan Maghrib pada pukul 8.27 malam. Ramadan sudah masuk minggu terakhir. Terasa baru semalam berazam untuk meningkatkan dan memperbaiki segala ibadat  wajib dan sunat . Masa berlari terlalu pantas. Benarlah sesungguhnya masa tidak menunggu sesiapa, rugilah sesiapa yang tidak menggunakan masa yang ada dengan berhemah.

15 June 2017

Ramadan hari kedua puluh Ankara


Salam,

Hari ini Khamis 15.6.2017 bersamaan 20 Ramadan 1438 H. Cuaca hari ini antara 11 hingga 25 darjah. Fajar pada pukul 3.16 pagi dan masuk waktu maghrib pada pukul 8.27 malam. Hari yang tenang dan mendung. Alhamdulillah syukur diberi kesempatan berpuasa hari kedua puluh. Syukur ya Rabb.

14 June 2017

Ramadan hari kesembilan belas Ankara


Salam,

Hari ini Rabu 14.6.2017 bersamaan 19 Ramadan 1438 H. Hari ini fajar pada pukul 3.16 pagi dan maghrib pada pukul 8.26 malam. Suhu sekitar 12 - 29 darjah. Alhamdulillah hari ini cuaca redup dan mendung. Begitulah rahmat dan berkat Ramadan.

Jemputan berbuka bersama isteri Datuk Bandar Ankara,  Madam Nevin Gokcek di Altin Park, diikuti dengan melawat pameran kain kelambu Kaabah dan Masjid Nabawi sejak tahun 1535 hingga 1918. Begitu besar dan gah sejarah Turki ini. Jika negara Mesir sebuah muzium tinggalan Firaun, Turki pula sebuah muzium tinggalan Kesultanan Kerajaan Turki Othmaniah.

Malam tadi ada makhluk Allah yang melawat Nina di Putrajaya. Harap-harap dia hanya tumpang berteduh mencari tempat sejuk. Katanya di Malaysia cuaca sangat panas siang dan malam. Alhamdulillah, syukur kepada Mu ya Rabb, Nina keluar rumah pada pukul 1.30 pagi (???kenapalah tak tunggu esok ambik barang2 tu. bertuah punya anak!!) untuk mengangkat bantal dan toto yang dijemurnya pada sebelah siangnya. Mula-mula dia mengangkat bantal dan dia ternampak benda hitam yang panjang. Setelah masuk kerumah Nina membuka lampu dan baru perasan itu ular. Sebab takut dan panik . Nasib baik bomba masih boleh datang ke rumah walaupun sudah pukul 1.30 pagi. Alhamdulillah semuanya selesai dengan selamat. Mungkin ular ni mencari tempat sejuk, sebab itu sedap dan selesa cik ular ni melingkar di atas tiles depan pintu rumah. Sama-sama makhluk Allah.


13 June 2017

Hati oh hati

Salam,

Bila mengenangkan pasal hati, banyak cerita yang tersurat dan tersirat. Hati berkait pula dengan perasaan.

Cerita 1:
Hati yang tidak pernah berpuas hati. Bagaimana tu? Bila hati tidak berpuasa hati, maka  dilahirkan melalui kata-kata yang boleh menguris hati orang lain. Kata-kata yang tidak ditimbang dengan akal yang waras.

Cerita 2:
Hati yang telah hilang kepercayaan kepada orang yang paling dipercayai. Hati yang tidak boleh dipujuk lagi katanya. Sebenarnya tiada perkara yang tidak boleh diperbaiki, cuma cepat atau lambat, hendak atau tidak. Moga Allah sentiasa melindungi hamba2Nya yang sentiasa memohon kepadaNya.

Simpati aku bersamanya.


Ramadan hari kelapan belas Ankara

Salam,

Hari ini Selasa 13.6.2017 bersamaan 18 Ramadan 1438. Dengan suhu 14 hingga 29 darjah, cuaca mendung dan redup. Waku fajar pada pukul 3.16 pagi dan waktu maghrib pada pukul 8.26 malam.

Ramadan hari ketujuh belas Ankara

Salam,

Hari ini Isnin 12.6.2017 bersamaan 17 Ramadan 1438. Hari nuzul al-Quran. Suhu 14- 27 darjah. Cuaca yang tidak panas dan tidak sejuk. Waktu fajar pada pukul 3.16 pagi dan waktu maghrib pada pukul 8.25 malam. Berbuka sendirian mudah dan ringkas. Air dan kurma sudah memadai.

11 June 2017

Ramadan hari keenam belas Ankara


Salam,

Hari ini Ahad 11.6.2017 bersamaan 16 Ramadan 1438 H. Cuaca antara 12-25 darjah . Mendung dari pagi hingga ke petang. Waktu fajar pada pukul 3.17 pagi dan waktu maghrib pada pukul 8.25 malam.

10 June 2017

Ramadan hari kelima belas Ankara


Salam,

Hari ini Sabtu 10.6.2017 bersamaan 15 Ramadan 1438. Fajar pada pukul 3.19 pagi dan Maghrib pada pukul 8.24 peatang. Suhu hari ini antara 11 hingga 24 darjah. Cuaca mendung. Suhu dan cuaca begini sangat selesa untuk berpuasa. Amat terasa Ramadan berlari pantas.

09 June 2017

Ramadan hari keempat belas Ankara

Salam,

Hari ini Jumaat, 9.6.2017 penghulu segala hari bersamaan hari keempat belas Ramadan 1438 H. alhamdulillah telah 14 hari berpuasa. Fajar hari ini pada pukul 3.18 pagi dan maghrib pada pukul 8.24 malam. Cuaca hari ini antara 13 hingga 25 darjah. Mendung , guruh dan hujan renyai sekali-sekala. Alhamdulillah, cuaca yang sangat selesa untuk berpuasa. alhamdulillah hari ini dapt berbuka secara berjemaah dengan pelbagai juadah.

08 June 2017

Ramadan hari ketiga belas Ankara


Salam,

Hari ini Khamis 8.6.2017 bersamaan 13 Ramadan 1438 H. Fajar hari ini pada pukul 3.18 dan Maghrib pada pukul 8.23 malam. Cuaca mendung dan redup dengan suhu 15-31 darjah.

07 June 2017

Ramadan hari kedua belas Ankara


Salam,

Hari ini Rabu 7.6.2017 bersamaan 12 Ramadan 1438 H. Cuaca hari ini antara 15 darjah hingga 29 darjah. Waktu fajar hari ini pada pukul 3.18 pagi dan waktu berbuka 8.23 malam.
Hari ini diluar nampak terik tetapi taklah terasa begitu panas.

06 June 2017

Ramadan hari kesebelas Ankara

Salam,

Hari ini Selasa 6.6.2017 bersamaan 11 Ramadan 1438 hijrah. Waktu fajar 3.19 pagi dan waktu berbuka 8.22 malam. Suhu antara 12-26 darjah . Petang semalam angin kencang seolah-olah ribut pasir. Di dalam rumah boleh terasa pasir diatas permukaan meja dan perabut lain. Malam tadi hujan sepanjang malam hingga kepagi. Akibatnya kami terlepas waktu sahur. Oleh kerana terlepas sahur kami dikira berpuasa bermula jam 11.10 malam tadi. Adalah hikmahnya kami tidak terbagun untuk sahur. Sebagai pengalaman mereka yang tidak dapat makanan dan minuman selama berhari-hari. Alhamdulillah , Allah bagi kami merasai sedikit situasi tersebut. Setakat sehingga masuk waktu zohor, masih sihat walafiat seperti biasa.

05 June 2017

Ramadan hari kesepuluh Ankara


Salam,

Hari ini Isnin 5.6.2017, hari ke 10 berpuasa. Cuaca hari ini terik disebelah pagi dan mendung disebelah petang dengan suhu 14 -27 darjah. Alhamdulillah berkat bulan Ramadan. Hari ini fajar pada pukul 3.20 pagi dan Maghrib pada pukul 20.21 malam.

Saya perhatikan di Ankara tiada undang-undang melarang orang Islam yang tidak berpuasa makan dikhalayak ramai. Kedai makanan segera seperti Mc Donald dan Starbuck buka seperti biasa dan sesiapapun boleh makan disitu tanpa berselindung dan rasa bersalah. Tiada istilah menghormati bulan Ramadan. Pekerja yang membaiki jalan ditepi appartment saya ini, berkelah ditaman yang terdapat ditepi jalan. Makan dan merokok tanpa rasa segan silu. Begitu kuat pengaruh sekular peninggalan Ataturk. Marilah kita doakan moga mereka kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Alhamdulillah di Malaysia ada penguatkuasaan undang-undang makan dibulan puasa di khalayak ramai. Mereka akan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Apa yang positif saya dapati disini ialah budaya bersedekah. Di bulan Ramadan, pusat-pusat membeli belah gergasi membuat iklan besar-besaran bagi siapa yang ingin bersedekah dibulan Ramadan mereka  menyediakan pakej-pakej tertentu bermula dengan harga semurah 49.90 Turkish Lira hinggalah kepada ratusan TL(Turkish Lira) untuk diagih-agihkan kepada mereka yang memerlukan. Kita perlu sediakan duit sahaja. Di sini tiada budaya berbuka dan bersedekah di masjid tetapi pusat-pusat berbuka kepada fakir miskin disediakan oleh Datuk Bandar sesebuah tempat. Apa yang saya lihat ini hanya di Ankara, mungkin suasana berbeza di luar bandar.

04 June 2017

Ramadan hari kesembilan Ankara


Salam,

Hari ini Ahad 4.6.2017 bersamaan 9 Ramadan 1438 H. Waktu fajar pada pukul 3.20 pagi dan waktu berbuka pada pukul 8.21 malam. Cuaca hari ini diantara 15 hingga 28 darjah. Alhamdulillah.Kami berbuka dengan sup ekor, mee hailam dan kuih buah Melaka. Syukur, alhamdulillah dengan rezeki hari ini.

03 June 2017

Ramadan hari kelapan Ankara


Salam,

Hari ini Sabtu 3.6.2017 hari kelapan berpuasa. Maknanya sudah seminggu Ramadan berlalu. Masya Allah cepatnya masa berlalu. Tak terkejar rasanya. Hari ini fajar pukul 3.21 pagi dan berbuka pada pukul 8.20 malam. Cuaca redup dan mendung, sekali-sekala terik apabila matahari muncul dibalik awan dengan suhu 15-28 darjah.

Syukur ibadat puasa yang agak panjang waktu berpuasanya diberi rahmat suhu dan cuaca yang sedap dan tenang. Jika difikirkan, sepatutnya kita bersyukur dapat merasai waktu puasa yang panjang kerana disitu makin kita dapat merasai bagaimana susahnya mereka yang tiada apa untuk dimakan. Bukankah tujuan utama kita berpuasa supaya dapat melahirkan keinsafan diri, merasai kesusahan orang lain, supaya dapat mendidik jiwa kita menjadi insan yang lebih prihatin dan tidak lokek membelanjakan sedikit harta dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk dikongsi bersama dengan mereka yang tidak bernasib baik.

Moga ibadat puasa kita diterima oleh NYA dan dapat membentuk pribadi kita menjadi insan yang syumul. Insya Allah.
Alhamdulillah, hari ini berbuka dengan juadah pesembur, resipi Mamak Haji.

02 June 2017

Ramadan hari ketujuh Ankara

Salam,

Hari ini Jumaat 2.6.2017 bersamaan 7 Ramadan 1438H. Waktu fajar pada pukul 3.28 pagi dan waktu berbuka pada 8.19 malam. Alhamdulillah dapat berbuka beramai-ramai. walaupun masing-masing penat memasak, tetapi kegembiraan berbuka bersama-sama staff dan pelajar membuat hati gembira. Seronok melihat pelajar dapat menikmati juadah makanan Malaysia. Berkat bulan Ramadan, banyak makanan yang boleh dibungkus oleh mereka untuk bekalan makan bersahur. Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan atas semua kerjasama dan kesepakatan antara semua ahli. Syukur.

01 June 2017

Rahmat Allah SWT



Salam,

Berbeza benua, berlainan negara, rahmat Allah SWT tetap sama, bumi yang indah.

Nina dan adam


Salam,

Sesungguhnya melawan rindu yang sarat di bulan Ramadan ini. Semoga  sentiasa dibawah peliharaan dan rahmat Allah SWT dalam apa jua keadaan.

Ramadan hari keenam Ankara

Salam,

Hari ini Khamis 1.6.2017 bersamaan 6 Ramadan 1438. Dengan cuaca yang mendung, kadang-kala hujan menjadikan puasa yang panjang tidak terasa. Suhu hari ini 11-24 darjah. Fajar pada pukul 3.28 pagi dan berbuka pada pukul 8.19 malam. Empat hari berturut-turut berbuka bersendirian. Sebenarnya apabila memikirkan anak-anak menjadikan aku malas untuk memasak.