12 August 2010

Hari Pertama Puasa


Gambar bandar Moscow di hari kedua puasa - jerubu/asap sudah tidak kelihatan

Pemandangan bandar Moscow di hari pertama puasa -asap/jerubu semakin menipis selepas hujan. Alhamdulillah berkat bulan Ramadhan

Salam,

Alhamdulillah hari pertama puasa berjalan lancar, meskipun waktu berpuasa hampir 17 jam tetapi perut langsung tidak terasa lapar. Cuma badan terasa lesu dan letih akibat cuaca panas yang melampau. Walaupun kami berada didalam rumah sepanjang masa , bahang panas masih terasa dari pagi hingga ke waktu malam. Pendingin hawa dan kipas dipasang sepanjang masa tetapi tidak dapat melawan bahang cuaca yang panas.

Beginilah ujian Allah Taala, walaupun diturunkan bahang panas tetapi berkat bulan Ramadhan yang penuh barakah dan puasa yang ikhlas semata-mata kerana Allah, kita sebagai hamba mampu menghadapinya.
Oleh itu marilah kita samaa-sama meningkatkan ibadat kita, meneguhkan iman kita menghadapi apa jua dugaan yang Allah turunkan dengan hati yang sabar dan yakin kepada setiap janji Allah Taala bahawa setiap apa yang berlaku itu ada hikmah yang tidak kita ketahui.

11 August 2010

Salam Ramadhan 2010M/1431H



Salam,

Selamat menyambut Ramadhan 2010 Masihi bersamaan 1431 Hijriah dan selamat menjalani ibadat puasa kepada semua sanak saudara, rakan taulan, pengunjung blog ini sama ada dikenali atau tidak dikenali, yang singgah secara sengaja atau tidak sengaja dan seluruh muslimin dan muslimat.

Kami sekeluarga memohon maaf atas segala silap dan salah sama ada kesalahan yang disengajakan atau tidak. Semoga ibadat puasa kita pada tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Moga Allah SWT mengampunkan dosa-doasa kita yang lalu berkat bulan barakah ini. Moga kita tidak lalai mengerjakan ibadat-ibadat sunat yang dijanjikan pahala yang berganda. Setiap detik dan saat dibulan Ramadhan yang diiringi bersama doa-doa dan ibadat-ibadat sunat merupakan pahala. Mari kita sama-sama merebut peluang ini.

Pada tahun ini kami berpuasa pada 11 Ogos 2010. Bagi Nina dan Adam mungkin cabarannya agak besar kerana waktu berpuasa yang panjang. Waktu sahur tamat pada pukul 4.30 pagi dan waktu berbuka pada pukul 9.16 malam.
Ditambah pula Moscow umumnya dan Russia khususnya mengalami gelombang panas yang luar biasa paa musim panas tahun ini. Setakat semalam dilaporkan, gelombang panas yang berlaku akibat kebakaran hutan dan pembakaran tapak pertanian merupakan gelombang panas yang terburuk dalam sejarah Russia. Menurut laporan media disini gelombang panas pada tahun ini merupakan gelombang terpanas dalam tempoh 1000 tahun.

Semalam hujan turun di Moscow, walaupun hujan yang turun kurang daripada 10 minit sedikit sebanyak menurunkan kadar kepanasan suhu disini. Disamping itu mengurangkan kadar jerebu asap yang menyelubungi bandar Moscow sejak 6 hari yang lalu.

Iktibarnya, bencana yang Allah Taala turunkan ini sebagai ujian untuk semua umat Islam yang terdapat di bumi Russia ini termasuklan kami. Moga ujian ini kami jalani dengan penuh sabar dan dapat meningkatkan keimanan dan kesedaran bertapa kerdilnya kita sebagai hamba disisi Allah Taala. Moga-moga ujian ini dapat menimbulkan perasaan takut atas segala dosa-dosa yang telah dan pernah dilakukan sama ada dosa kecil maupun dosa besar. Oleh itu marilah kita sama-sama bertaubat berkat bulan Ramadhan yang penuh barakah ini taubat kita akan diterima oleh Allah Taala.

08 August 2010

Meng'delete'

Salam,

Dalam keadaan cuaca diluar yang panas dan kering, 2 hari lagi bulan Ramadan akan menjelma dan ibadat puasa akan bermula, saya rasa persediaan menghadapi bulan mulia ini terlalu sedikit. Bukan persediaan fizikal tetapi persediaan mental, masih banyak perkara-perkara remeh-temeh yang melalikan belum dipadamkan.

Saya sedang meng'delete' semua perkara-perkara dan orang-orang yang menganggu fikiran saya.

Selamat datang Ramadhan.

Asap/Jerebu/Ujian Allah

Salam,

Beginilah keaaan Moscow sejak 5 hari yang lalu. Asap yang menyelubungi Moscow akibat daripada kebakaran hutan dan pembakaran tanah pertanian menyebabkan keadaan panas yang tidak terkawal. Tahap pencemaran sepuluh kali ganda daripada hari-hari biasa. Bagi mereka yang berada diluar tanpa sebarang penutup hidung dan terdedah kepada asap/jerebu ini selama dua jam, akibatnya sama seperti orang yang menghisap dua kotak rokok sekali gus.



02 August 2010

Kecik Hati



Salam,

Hari ini 2 Ogos 2010, jerebu asap semakin teruk menyelubungi ruang udara Moscow. Tahap pencemaran udara 10 kali ganda lebih teruk daripada biasa. Hati ini pun terikut-ikut dengan suasana jerebu ini.

Usah dilayan syaitan yang menghasut. Buant apa nak disibukkan dengan perkara remeh-temeh dunia ini. Sediakan hati untuk bulan barakah sedang berada diambang pintu. Lupakan hal-hal dunia yang melalaikan.