27 December 2016

Setahun Lagi

Salam,

Alhamdulillah. Setahun lagi . Moga segalanya di dalam Rahmat Allah Taala.

25 December 2016

Aku dan DIA

Salam,

Ini aku nak kongsi satu cerita.

Aku telah ditanya oleh seorang kawan. Dia ni kawan lama, maksud aku kawan zaman sekolah. Maklumlah kawan sekolah....dah lama kami tak pernah bertemu, tak pernah bertanya khabar. Kami dipertemukan semula di alam siber. Dengan adanya aplikasi WhatsApp, ada yang mengambil initiatif mengumpulkan kami dalam satu group sekolah.  Segala cerita pasal diri masing-masing hanya melalui siber.

Suatu hari kawan aku ni menulis begini: "Ko ni aku tengok dah pergi merata dunia tapi tak teringin ke nak pergi ke Mekah?".

Terkedu jugak aku bila membaca pertanyaan dia tu.Pertanyaan tu semua orang boleh baca. Dalam hati aku..kalau iaya pun bagi salamlah dulu..tak boleh ke tanya dulu aku dah pergi Mekah ke tidak? Tak boleh ke tanya aku secara peribadi..Ini terus membuat rumusan begitu? itulah yang dikatakan mentaliti....membuat keputusan bagi pihak orang lain

Aku malas nak layan pertanyaan begini. Tapi kat sini aku   nak jawab secara umum aje..manalah tau jika ada orang yang bermentaliti begitu terbaca jawapan aku ni..bolehlah fikir sendiri lain kali sebelum membuat rumusan.

Bagi aku bila aku pergi ke Mekah, niat aku satu sahaja. Menyerahkan diri yang kerdil, lemah dan berdosa ini kepada DIA yang Maha Pengampun, Maha Pengasih, Maha Penyayang,Maha Mendengar, Maha Adil dan maha segala-galanya. Tiada niat lain. Jadi, aku tidak perlu kongsi dengan sesiapapun . Bila aku kesana hanya semata-mata aku dan DIA. Aku takut pada diri aku sendiri. Dalam diri ini ada sifat ujub, riak dan takabbur. Aku takut jika timbul sifat-sifat itu apabila aku berkongsi cerita . Ramai yang suka kongsi gambar, kongsi cerita apabila mereka di sana. Terpulang pada diri masing-masing. Bagi aku, aku tak sudi berkongsi cerita aku disana. Bagi aku saat aku disana, saat aku menyerahkan diri kepada DIA, Mengadu segala-galanya. Mengadu secara tersurat dan tersirat. DIA Maha Mengetahui segala-galanya.
Allahuaklam.

Jom kira

Salam,

Moh kita mengira. Berapa hari lagi?
Empat bulan tujuh hari.

19 December 2016

Malaysiaku

KRISIS KEYAKINAN KRONIK KATA TUN DAIM ZAINUDDIN  23:33:00 Daim Zainuddin DaimZainuddin

SAYA telah diminta berkongsi pandangan mengenai isu struktural yang dihadapi oleh negara kita dan apa yang boleh dilakukan berkaitan dengannya. Saya amat keberatan untuk menurunkan pemikiran saya dalam bentuk tulisan atau berkongsi pandangan saya dengan masyarakat.
Sejak bersara, saya menjauhkan diri daripada perbincangan terbuka. Saya lebih banyak menghabiskan masa dengan mengembara.
Namun keadaan telah berubah dan kita sedang mengalami krisis yang sangat teruk. Saat ini, jelas terdapat isu struktural jangka panjang yang mungkin memberi kesan kepada hala tuju kita ke arah status negara maju. Ini termasuklah isu pendidikan, pasaran buruh, dasar fiskal kewangan kerajaan, pertumbuhan inklusif dan kemapanan ekonomi. Bagaimanapun, apa yang negara kita perlukan pada masa ini adalah usaha untuk menangani perkara yang lebih asas walaupun sukar untuk diselesaikan. Seperti telah saya katakan berulang kali, apa yang perlu kita tangani sekarang adalah defisit keyakinan yang kronik. Untuk mengatasi defisit itu kita mesti tahu asal-usul permasalahannya. Terdapat beberapa sebab kita mengalami defisit keyakinan. Pertama, kekurangan integriti, kejujuran dan keberanian moral. Ketiadaan sifat-sifat moral yang tinggi ini berlaku secara meluas di kalangan elit negara ini, khususnya mereka yang berkuasa. Gejala rasuah yang berleluasa sehingga wang awam boleh dicuri untuk kegunaan persendirian oleh kakitangan awam atau kes kakitangan awam menyembunyikan jumlah wang yang begitu banyak sudah tidak lagi memeranjatkan kita. Seolah-olahnya gejala rasuah yang sistemik telah menyelubungi dan melumpuhkan negara sehingga kita terpaksa menerimanya bulat-bulat. Hakikatnya, mereka yang korup harus dihukum dan kita tidak patut menunjuk sebarang simpati terhadap mereka. Namun adakalanya penjenayah yang mempunyai perlindungan politik tidak segera dihadapkan ke muka pengadilan. Dalam kes rasuah Jabatan Air Negeri Sabah misalnya, sudah hampir dua bulan berlalu sejak mereka yang disyaki, dilepaskan melalui ikat jamin. Ini memberi ruang kepada orang ramai untuk terus membuat spekulasi mengenai salah guna sistem pentadbiran. Demikian juga dengan tuduhan rasuah di Kementerian Belia dan Sukan. Dan siapakah yang boleh menafikan kewujudan kes rasuah berbilion ringgit serta salah guna kuasa sedang berlaku di negara kita? Agak penting juga untuk diingatkan bahawa kekurangan integriti nasional mempunyai kesan yang sangat buruk. Dan kesannya boleh dirasai melangkaui generasi pada hari ini. Kajian menunjukkan negara yang dianggap mempunyai kadar rasuah tinggi mengalami kadar pertumbuhan ekonomi lebih rendah berbanding negara yang bersih daripada gejala rasuah, selain menghadapi kesan negatif dalam pertumbuhan ekonomi. Tiada siapa mahu melabur di negara yang tidak menghormati peraturan perundangannya sendiri. Ramai yang lupa bahawa punca sesuatu masyarakat atau sesebuah negara itu boleh berjaya ataupun gagal, dan sesuatu tamadun serta empayar agung boleh runtuh adalah disebabkan kekurangan atau ketiadaan integriti. Oleh itu, untuk menyelesaikan isu-isu struktural ini maka adalah penting jika sifat mulia perlu diwujudkan di peringkat paling atas di kalangan mereka yang berkuasa. Malah, kelangsungan negara kita dan kejayaannya bergantung kepada keutuhan moral setiap orang, terutama di kalangan mereka yang memimpin. Pemimpin mesti menegakkan tingkah laku berintegriti tinggi, tidak mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepada mereka dan tidak mengambil kesempatan atas kedudukan pangkat masing-masing. Mereka yang berkuasa mesti berwaspada dan beringat bahawa menyalahgunakan kuasa adalah satu sifat tidak bermaruah. Kedua, kekurangan empati dan penggunaan akal logik di kalangan pemimpin memainkan peranan dalam melebarkan lagi jurang keyakinan terhadap mereka. Di kala rakyat berasa kesempitan akibat peningkatan kadar gaji yang perlahan, peningkatan kos sara hidup akibat pelupusan subsidi dan nilai mata wang ringgit yang lemah, tidak semena-mena kita mendengar berita bahawa lebih setengah bilion ringgit akan diguna untuk mengubah suai taman di ibu kota. Ini sangatlah tidak sensitif dan tidak masuk akal, lebih-lebih lagi apabila peruntukan untuk sektor penting seperti kesihatan dan pendidikan telah dipotong. Wajarkah memotong peruntukan, tetapi kita menggunakan berjuta-juta duit rakyat untuk menaik taraf sebuah taman? Jika kerajaan betul-betul jujur mengambil berat taman-taman di ibu kota, maka taman seperti di Bukit Kiara sepatutnya sudah lama diwartakan. Ketiga, kemahiran mengawal dan mengawasi ekonomi negara amat cetek. Kita kononnya berbangga mengatakan "asas-asas ekonomi kita adalah kukuh", tetapi sebenarnya ekonomi kita dijanakan oleh hutang. Ini tidak lestari. Hutang kerajaan berserta liabiliti luar jangka telah dengan mudah melampaui had hutang yang ditetapkan. Untuk belanjawan tahun hadapan sahaja, kita perlu meminjam sehingga 90 peratus bagi membiayai perbelanjaan pembangunan. Bagi setiap RM1 pendapatan yang kita sasarkan untuk dipungut, 98 sen daripadanya terpaksa digunakan untuk perbelanjaan operasi seperti pembayaran gaji, pembayaran faedah hutang dan pemberian subsidi. Sekali lagi diulangi, cara ini sememangnya tidak lestari. Kadar hutang isi rumah sahaja pun sudah berada pada tahap tertinggi dalam sejarah, malah yang tertinggi di rantau ini. Dengan kurangnya kadar simpanan isi rumah, rakyat pastinya terdedah kepada bahaya kemiskinan. Sehingga akhir tahun lalu, kadar hutang korporat di luar sektor kewangan juga amat tinggi, iaitu 105 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini adalah lebih tinggi daripada kadar hutang negara sedang pesat membangun. Begitupun, kita masih mahu berbangga menyatakan bahawa ekonomi kita sedang berkembang, dan bermegah pula apabila presiden baharu Amerika Syarikat dikhabarkan berasa kagum dengan kadar pertumbuhan ekonomi kita. Sedangkan ekonomi Amerika Syarikat sedang menikmati kapasiti penuh dan ini dibuktikan dengan kadar penganggurannya yang berkurangan serta peningkatan kadar gaji. Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi sahaja tidak cukup. Ia mesti memberi faedah kepada rakyat dan negara. Malangnya, meskipun pertumbuhan ekonomi kita adalah positif, angka pengangguran bertambah setiap tahun. Sejak awal tahun lalu, jumlah penganggur meningkat 16 peratus. Golongan siswazah tidak mempunyai kerja kian membesar di mana hampir satu daripada tiga orang adalah penganggur. Bahkan ada graduan lulusan kejuruteraan yang terpaksa menjual nasi lemak. Dan kerajaan kita nampaknya berbangga dengan 'pencapaian' ini! Syarikat-syarikat juga tidak mengambil pekerja baru seperti dahulu. Angka jawatan kosong tahun ini adalah yang terendah dalam tempoh sedekad lalu. Fakta yang diketahui menunjukkan jawatan kosong yang ada pun kebanyakannya untuk pekerjaan separuh mahir ataupun berkemahiran rendah. Kesannya, jumlah tenaga buruh berkemahiran rendah di negara ini kian bertambah manakala jumlah tenaga kerja mahir semakin berkurangan. Ini tidak memberi prospek bagus bagi negara yang sedang menuju ke arah berpendapatan tinggi. Adalah sia-sia apabila negara akhirnya mencapai pendapatan tinggi, tetapi majoriti rakyatnya masih berpendapatan rendah. Hal-hal di atas adalah faktor yang membuatkan rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan. Jadi apa yang mesti kita lakukan? Ada dua perkara perlu dibuat. Ada yang mudah dan ada yang sukar. Pertama, sebuah pasukan pengurusan ekonomi yang baru mestilah ditubuhkan dan diberi mandat untuk memperbetulkan ekonomi yang sudah lesu ini. Rakyat, berserta dengan pelabur di dalam dan luar negara, mesti mempunyai keyakinan dan kepercayaan ke atas mereka yang menguruskan ekonomi. Oleh itu, ahli-ahli pasukan ini mestilah terdiri daripada golongan profesional yang mempunyai kepakaran teknikal yang tinggi, cekap, berintegriti dan berani untuk berkata benar. Mereka yang tidak kompeten dan kurang pandai tidak boleh diberikan tugas ini walau setinggi mana pun kesetiaan mereka kepada ketua. Kita boleh lihat tahap kebolehan Jawatankuasa Khas Ekonomi yang ditubuhkan pada Ogos tahun lalu. Mereka gagal sama sekali. Kumpulan ini mesti dibubarkan. Pada masa yang sama, perdana menteri tidak boleh memegang jawatan menteri kewangan. Ini adalah contoh tadbir urus yang buruk. Kedua, dan yang tidak kurang pentingnya, kita mesti berusaha untuk membuang mentaliti feudal, terutama di kalangan mereka yang memegang amanah negara. Jika seseorang pemimpin sudah melakukan kesalahan atau jenayah, adalah menjadi tanggungjawab orang bawahannya, terutama penjawat awam untuk mengambil tindakan pembetulan; bukannya bekerjasama menutup kesalahan jenayah tersebut. Perlu diingatkan, ahli politik yang dipilih oleh rakyat untuk memimpin kerajaan sebenarnya adalah hamba kepada rakyat Mereka hanya diberi mandat dan kuasa oleh rakyat untuk memimpin kerajaan dan memerintah bagi pihak rakyat itu sendiri. Maka dengan itu, sifat menghormati dan akauntabiliti terhadap rakyat yang telah mengundi mereka adalah ciri paling utama perlu ada di kalangan pemimpin. Pemimpin bukannya tuhan yang mesti disembah dan dituruti setiap masa. Seruan ini bukanlah baru. Kira-kira setengah abad yang lalu, ahli falsafah dan pakar sosiologi negara, Syed Hussein Al-Attas telah memberi amaran terhadap bahaya ini; "…mereka yang berkuasa …mengharapkan orang bawahan mereka supaya sentiasa setia hinggakan boleh timbulkan konflik dengan etika atau peradaban normal…orang bawahan ini diwajibkan setia dalam apa jua keadaan walaupun keadaan itu melanggar nilai-nilai dan falsafah masyarakat Malaysia." Sekali lagi, ini memerlukan integriti dan kejujuran walaupun ia membuatkan seseorang itu berada dalam minoriti. Perdana menteri kita yang pertama pernah berkata "jika anda fikir anda kaya, ada ramai orang yang lebih kaya daripada anda. Jika anda fikir anda pandai, ada ramai orang yang lebih pandai daripada anda. Jika anda fikir anda adalah jujur, maka anda adalah sebahagian daripada golongan yang sedikit. Maka dalam hal ini, adalah terbaik untuk menjadi sebahagian daripadanya". Dalam mendepani rakyat, sama ada berkaitan aspek ekonomi, sosial atau politik, kejujuran adalah prinsip terbaik. Pembohongan hanya akan membawa kepada lebih banyak pembohongan, dan apabila rakyat sudah tidak mempercayai anda, walaupun ketika anda memberitahu yang benar, mereka tetap tidak akan yakin terhadap anda. Anda tidak akan dapat menyelesaikan masalah negara selagi wujud defisit keyakinan. Daripada pengalaman saya sewaktu krisis ekonomi 1986 dan 1998, saya lebih terbuka dan jujur terhadap masalah yang dihadapi manakala rakyat pula mempunyai keyakinan untuk memberi kita lebih masa dan ruang agar kita boleh menyelesaikan masalah tersebut. Tanpa keyakinan dan sokongan rakyat, penyelesaian isu-isu ekonomi akan menjadi amat sukar, terutama jika isu itu memberi kesan secara langsung kepada mereka. Dalam erti kata lain, ia adalah satu kerjasama erat di antara yang memerintah dengan dan yang diperintah. Pembaharuan dalam institusi sedia ada juga diperlukan. Kita mesti ambil semua langkah wajib, termasuklah meminda undang-undang bagi memastikan kebebasan badan kehakiman dan institusi keselamatan tanah air. Kebebasan bersuara, perbezaan pendapat dan idealogi mestilah dialualukan, bukannya didakwa. Inilah intipati sesuatu demokrasi yang betul-betul terbuka, segar dan berjalan lancar. Jika kita gagal menggembleng usaha untuk membuat pembaharuan penting seperti dinyatakan di atas bermakna kita akan terbabas dan menjauhi sasaran untuk mencapai kemakmuran. Kita harus berasa bimbang terhadap masa depan yang akan kita tinggalkan kepada anak cucu kita. *** Artikel ini disiarkan dalam The Edge Tun Daim Zainuddin, Bekas Menteri Kewangan

Melayu oh Melayu

Salam, Tiada ertinya lagi. Semuanya sudah terang lagi bersuluh.Melayu yang merosakkan Melayu. Bahasanya, budayanya, sopannya, santunnya, adabnya, budinya, akalnya segala-galanya.

13 September 2016

Hari Raya Aidiladha 2016/1437

Salam,
 Hari Raya Aidiladha kali ini aku berada di Ankara Turki. Adam tidak dapat bersama kami di sini. Sambutan yang sederhana bersama keluarga kecil HBS Ankara bersama tiga orang pelajar.

Juadah yang sempat aku masak seperti nasi minyak, ayam masak merah, dalca ayam, acar mentah, rendang kicap, nasi impit dan kuah kacang, mee hoon goreng, agar-agar santan dan buah-buahan.

Alhamdulillah, dapat juga merasai suasana Aidiladha walaupun pada tahun ini kami tidak melakukan ibadat korban. Terima kasih kepada pelajar yang yang sudi memimpin takbir dan tahlil ringkas.

30 June 2016

Pindah

Salam Ramadhan ke 24,
 Bersama berkat Ramadhan kami mendapat berita yang kami akan berpindah ke negara baru.

Bagaimana perasaan apabila mendapat berita ini? Jawabnya, entah!. Tiada perasaan apa-apa. Sedihkah untuk meninggalkan kota yang tidak pernah tidur ini? Jawabnya, tidak!. Setelah 2 tahun di kota New York ini ada ada suatu jawapan yang pasti kepada persoalan yang sering bermain di kepala ini. Selama ini dengan hanya melalui pembacaan, melalui internet, melalui meda-media saya melihat kebijaksanaan Mereka Yang Tidak Boleh DiSebut Namanya, dalam semua bidang, memang rasa takjub akan sikap mereka yang sangat menjunjung tinggi ilmu dunia ini, tidak pernah puas meneroka , ada sahaja yang baru, terlalu cepat .Sesungguhnya sangat benar ujian bagi mereka ini kepintaran dan kemahuan serta keinginan menguasai segala-gala yang ada, sehingga lupa ada yang tidak boleh diterjemahkan dengan akal manusia.

Mereka terlupa ada DIA yang Maha Pencipta.

14 June 2016

Ramadhan Kareem 1437H/2016M

Salam, Hari ini hari ke 9 kami berpuasa di New York City. Cepat sangat masa berjalan. Ramadhan kali ini jatuh dipenghujung musim bunga dan di awal musim panas. Jadi waktu berpuasa agak panjang. Kami berpuasa hampir 17 jam. Secara puratanya waktu bersahur tamat pada pukul 3.35 pagi dan subuh masuk sekitar pukul 3.45 pagi. Waktu Maghrib dan berbuka kurang lebih pada pukul 8.28 malam. Meski pun waktu berpuasa agak panjang, ajaibnya tidak terasa lapar yang keterlaluan. inilah berkat bulan Ramadhan. Diwajibkan berpuasa, diberi sedikit ujian untuk menguji iman kita kepada DIA, bersama ujian itu diberi berakah dan rahmat. Allahu akbar..apalagi yang hendak kita dustakan? Moga ibadat kita di bulan Ramadhan tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

23 January 2016

Ribut Salji

Salam, New York mengalami ribut salji hari ini Sabtu 23 Januari 2016 dan dijangka berterusan sehingga hari Ahad.