31 May 2017

Puasa hari kelima Ankara



Salam,

Hari ini Rabu 31.5.2017 bersamaan 5 Ramadan 1438 H, hari kelima berpuasa di Ankara. Cuaca mendung dengan suhu 9-21 darjah. Suhu yang sangat sesuai untuk berpuasa, tidak terlalu panas.Fajar pada pukul 3.24 pagi dan berbuka pada pukul 8.18 malam.
Tiga hari berbuka sendirian, tidak perlu memasak dan meyediakan juadah memadai dengan apa yang telah sedia ada. Alhamdulillah.

Puasa hari ke empat Ankara


Salam,
Hari ini Selasa 30.5.2017 bersamaan 4 Ramadan 1438H.. Hari ini fajar pada pukul 3.24 pagi dan berbuka pada pukul 8.17 malam. Cuaca diantara 11-23 darjah. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. semoga amalan puasa kita dan ibadat-ibadat lain diterima oleh Allah SWT.

Sebelum masuk waktu berbuka saya kebalkoni melihat suasana senja di bandar Ataturk ini. Dari jauh saya terlihat 3 beranak berjalan ditepi jalan raya  dan tiba-tiba berhenti di antara persimpangan jalan. Saya mengagak mereka ini peminta sedekah atau pelarian. Bayangkan dengan anak dikendongan, waktu berbuka yang hampir tiba mereka membentangkan plastik yang dikutip ditepi jalan dan duduk di persimpangan jalan. Tidak lama mereka duduk disitu, sebuah trak berhenti dan memberi sesuatu. Mungkinkah itu rezeki untuk berbuka puasa. Allahuaklam. Jika dekat mahu sahaja saya turun melihat mereka. Moga allah memberi rahmat dan hidayahnya kepada mereka .



30 May 2017

Ramadan hari ketiga Ankara

Salam,

Alhamdulillah hari ini Isnin 29.5.2017,  telah habis hari ketiga berpuasa Ramadan tahun ini. Masa berlalu terlalu pantas. Walaupun waktu berpuasa  panjang dari pukul 3.25pagi hingga 8.16 malam dengan suhu 14-22 darjah, tapi langsung tidak terasa penat, lapar dan dahaga. Itulah berkat bulan Ramadan.

28 May 2017

Ramadan hari kedua Ankara


Salam,
Hari ini hari kedua berpuasa di Ankara. Waktu Fajar 3.25 pagi dan berbuka 8.16 malam. Cuaca hari ini mendung dan dikejauhan kawan pergunungan nampak suasana berkabus. Alhamdulillah dengan cuaca yang begini tidak terasa panas, lapar dan dahaga. Untungnya hari pertama dan kedua puasa jatuh pada hari Sabtu dan Ahad. Bolehlah berpuasa sambil merehat-rehatkan diri.

Anjing dan murai



Salam,

 27.11.2016 Ahad, bumi Ottoman. Aku nak cerita sikit pasal binatang kat sini. Dari appartment aku tu ada suatu kawasan lapang yang dihuni oleh 7 ekor anjing. Anjing di sini disayangi oleh masyarakat tempat aku tinggal ni. Setiap hari ada sahaja rezeki yang ditinggalkan untuk anjing-anjing jalanan ini.

Pada waktu ini dikira sudah masuk musim sejuk. Pokok-pokok sekitar semuan sudah togel, luruh daunnya. Jadi aku boleh nampak anjing-anjing makan, berehat, tidur dan mundar-mandir sekitar kawasan lapang tersebut.

kawasan lapang ini bukan sahaja dihuni oleh anjing-anjing, merpati, murai dan burung-burung lain juga. Apa yang aku perhatikan, apabila ada makanan yang diberi di kawasan lapang tersbut, anjing-anjing akan menyorokkan makanan lebihan kedalam daun-daun kering yang terdapat disitu. Apa yang aku perhatikan, setiap kali anjing ini hendak menyorokkan makanannya mesti ada murai yag akan mengikut anjing tersebut. kadang-kadang ada tiga ekor akan mengekori anjing ini menyorokkan makanannya. Aku perhatikan kadang-kadang anjing ini akan marah dan mengejar murai-murai yang mengintai tempat anjing ini menyorokkan makanan.

sebaik sahaja anjing berlalu murai-murai akan mengais daiun-daun kering dan mencuri makanan anjing tersebut, Oo..begitu lumrah hidup ini ya..

Ramadan hari pertama Ankara


Salam,
Jumaat 26.5.2017 bersamaan 30 Syaaban. Ini menandakan masuknya Ramadan  selepas waktu magrib. Alhamdulillah, syukur kepada allah SWT kami masih diberi kesempatan bertemu Ramadan pada tahun 2017m bersamaan 1438 Hijrah. Semoga bulan Ramadan kali ini kami diberi kesempatan untuk emperbaiki segala ibadat wajib dan sunat, moga ibadat Ramadan kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya. Alhamdulillah solat terawih pertama di bulan Ramadan 1438. Sejak seminggu cuaca mendung dan kurang panas. Ankara masih dalam musim bunga, dengan cuaca antara 10-22 darjah. Bunga-bunga berkembangan dimana-mana. Suasana yang meriah menyambut Ramadan tahun ini.

 Hari ini Sabtu ,27.5.2017 merupakan hari pertama Ramadan di Ankara. Waktu fajar pada pukul 3.27 pagi dan waktu maghrib 8.15 malam. Ini bermakna kami berpuasa hampir 18 jam. Suhu antara 14-20 darjah. Alhamdulillah, tidak terasa penat, lapar dan dahaga walaupun berpuasa dengan waktu yang panjang. Inilah barakah Ramdan, bulan mengumpul pahala dan sahaham akhirat. Bulan yang setiap saat diberi ganjaran yang berlipat ganda. Moga kita tidak mensia-siakan peluang yang telang diberi oleh Allah Taala. Moga kita semua dipertemukan dengan malam lailatul kadar.

Berbuka dengan kurma, Mee Hailam, Buah Melaka, jus tembikai dan tembikai susu,buah cheri dan strawberi. Alhamdulillah. Banyaknya rezeki kami berbuka pada hari pertama.

26 May 2017

Positif


Salam,
Mudah bunyinyakan!! Ya, sangat mudah, hanya 7 huruf. Hakikatnya sangat susah untuk dibudayakan dalam diri. Masalah utama saya sejak mula saya mengenal erti hidup. Masih berterusan hingga kini, turun dan naik. Dimana silap dan lopongnya? Masih mencari.


Ramadhan 2017/1438

Salam,

Esok, 27 Mei 2017, insya Allah umat Islam di Turki akan menyambut Ramadan dan akan mula berpuasa. Semoga bulan Ramadan dan ibadat puasa kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya. Moga kita semua di beri kekuatan iman dan semangat untuk melakukan sebanyak mungkin ibadat. Moga kita terus diberi hidayah untuk mengisi setiap saat dan nafas kita dengan perkara-perkara yang baik dan direhai Allah SWT.

Kehidupan

Salam,

Hari ini, sembilan bulan , tujuh hari kami berada di bumi Ankara. Insya Allah, esok Ramadhan pertama kami di sini, Tahun ini bulan Ramadhan jatuh pada musim panas. Waktu berpuasa agak panjang iaitu hampir 18 jam. Melalui pengalaman berpuasa di musim panas, insyaallah segalanya akan dipermudahkan. Ramadan bulan yang penuh barakah, insya allah segala lapar dahaga dan puasa yang yang panjang tidak akan terasa. Begitulah rahmat Allah Taala kepada hamba-hambanya, tinggal lagi kita untuk berfikir dan bersyukur serta melahirkan kesyukuran kepada Dia yang memberi segala-galanya.

Tahun ini keluarga kami berserakan. Nina berpuasa bersendirian di Malaysia, walaupun terdapat sedara mara tetapi tidak sama bersama dengan keluarga. Nina berpuasa di Malaysia tidak merisaukan saya dari segi suasana dan makan minumnya. Insya allah, suasana Ramadan di Malaysia sangat terjaga, makan dan minum untuk berbuka boleh dibeli dimana-mana. Bila difkirkan suasana begutu hati saya jadi agak tenang. Cuma kami saja yang tiada.

 Adam di Indiana, berpuasa dan beraya mungkin di dalam kelas. Entah bagaimana dia akan mengatur waktu bersahur dan berbukanya. Kali pertama Adam berpuasa bersama rakan-rakan jauh diperantauan di tempat yang tidak kedengaran azan dan tidak tahu apa itu Ramadan. Saya berdoa agar Adam dan semua anak-anak muslim disana dikurniakan kekuatan yang luar biasa menghadapi waktu puasa yang lama dan tiada suasana Ramadan. Ya Allah , Hanya Engkau yang Maha Mengetahui, Maha Pengampun, lindungi dan peliharalah anak-anak kami dan semua Muslim dan muslimah di sana. Kuatkanlah iman mereka. Limpahkanlah rahmat dan inayahMU ya Allah. Hanya kepada Mu jua tempat kami bergantung, jagalah anak-anak kami agar terpelihara  iman dan akidahnya. Peliharalah mereka dari fitnah dajjal dan fitnah dunia yang sangat dahsyat ini. Permudahkanlah mereka dalam menuntut ilmu. Berilah mereka kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat.