Showing posts with label cikgu. Show all posts
Showing posts with label cikgu. Show all posts

15 May 2009

Selamat Hari Guru

Kepada semua rakan-rakan guru di luar sana diucapkan Selamat Hari Guru. Selamat Maju Jaya dalam menjalankan tugas, ikhlas ,sabar dan bertanggungjawab.

Kenapa anda ingin jadi cikgu?
Oleh MUHD NORIZAM BIN JAMIAN

KENAPA ANDA JADI CIKGU?“KENAPA anda ingin jadi cikgu?” – ini merupakan soalan yang lazim ditanyakan semasa proses temu duga calon-calon yang bakal mengikuti pengajian di institut-institut perguruan sama ada bagi program Kursus Perguruan Lepas Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM), Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) dan sebagainya.

Biasanya jawapan standard yang akan diberikan ialah “ingin mendidik anak bangsa”, menyebarkan ilmu” dan “ingin membentuk generasi terbilang” walaupun mungkin realiti sebenarnya profesion keguruan menjadi pilihan terakhir mereka.

Apa pun majoriti guru – dan juga bakal guru – hari ini hakikatnya benar-benar komited dengan tugas mereka. Oleh sebab itu, mereka diraikan pada setiap 16 Mei saban tahun.

Tahun ini, bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa, Hari Guru disambut bagi mengenang dan menghargai jasa insan yang sering diumpamakan sebagai lilin ini.

Tarikh 16 Mei dipilih kerana pada hari tersebut dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Tugas guru hari ini tidak lagi semudah dahulu. Mereka menghadapi pelbagai cabaran yang kompleks sesuai dengan kepesatan modenisasi hari ini. Sejajar dengan era dunia tanpa sempadan dan globalisasi, seorang guru tidak hanya berperanan mendidik anak murid agar celik 3M (membaca, menulis dan mengira) malah lebih dari itu.

Mereka dituntut melahirkan generasi terbilang yang memenuhi Falsafah Pendidikan Negara – ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Bagaimanapun situasi semasa memperlihatkan semacam wujud kelompangan dan kekurangan dalam pelaksanaan sistem pendidikan negara.

Media massa kerap melaporkan seribu satu kebejatan sosial yang melanda remaja hari ini. Buang bayi, bohsia, pengkid, seks bebas, buli, gaduh, ponteng dan menonton video lucah menggambarkan seriusnya keruntuhan moral mereka. Hal ini tidak termasuk isu dadah dan rempit yang seolah-olah tidak mempunyai titik noktahnya.

Di sisi lain, wujud pula kecenderungan mengejar kecemerlangan akademik yang berlebihan. Berlaku perlumbaan untuk meraih seberapa banyak A dalam peperiksaan seolah-olah hanya itu yang menjadi lambang kejayaan dalam sistem pendidikan negara. Tidak salah untuk cemerlang dalam akademik namun hanya itukah matlamat pendidikan kita?

Tujuan pendidikan dalam Islam, menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas (2001), adalah melahirkan manusia yang beradab. Adab melibatkan pengakuan tentang sesuatu secara benar dan tepat; perilaku yang baik untuk mendisiplinkan fikiran dan jiwa serta penonjolan tingkah laku yang benar dan tepat. Manusia beradab hanya mampu diciptakan dengan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan (hikmah) yang menghasilkan keadilan kepada diri, negara, masyarakat dan alam sekitar.

Dengan kata lain, objektif utama pendidikan dalam Islam ialah melahirkan insan yang sempurna (insan al-kamil), yang terdidik rohani dan jasmani, yang seimbang kehidupan spiritual dan materialnya. Insan tersebut harus mampu melaksanakan tanggungjawab selaku khalifah Allah di dunia dan pada masa yang sama menunaikan kewajipan sebagai hamba-Nya.

Justeru para guru harus tahu membezakan antara mengajar dan mendidik. Tidak sama antara mengajar anak beruk memetik buah kelapa dengan mendidik anak murid agar menjadi insan yang berguna. Mendidik bukan sekadar mewujudkan generasi yang celik inteleknya tetapi juga utuh rohani, emosi dan jasmaninya.

Hakikatnya tugas yang digalas oleh seorang guru adalah amat berat. Di bahu merekalah terpikulnya tanggungjawab untuk melahirkan generasi cemerlang yang seterusnya akan membentuk negara terbilang. Mungkin dalam kemeriahan sambutan Hari Guru ini, para guru boleh merenung sejenak dan bermuhasabah diri – “Kenapa anda ingin jadi cikgu?” Selamat Hari Guru.

(Penulis merupakan Tutor di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia).

17 May 2007

Selamat Hari Guru 16 Mei

Insan cemerlang hasil didikan guru cemerlang
17-05-2007 01:25:34 PM

SAYA mewakili Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya mengucapkan selamat Hari Guru dengan tema baru ''Guru Penjana Modal Insan Cemerlang'' kepada semua guru dan tenaga pengajar di seluruh negara terutamanya para pensyarah yang bertugas mengajar tanpa kenal penat.

Saya menyedari bahawa semua pensyarah dan para guru di seluruh dunia merupakan golongan mulia kerana mereka boleh dikatakan perantara antara ilmu Allah/Tuhan dengan manusia. Mereka umpama lilin yang membakar dan menyusahkan diri saban waktu memikirkan kecemerlangan para pelajar seperti kami sebagai mahasiswa atau pelajar.

Dalam hal ini jelas bahawa menurut kepercayaan Islam kedudukan orang yang berilmu ini ditinggikan oleh Allah SWT dengan beberapa darjat berbanding golongan lain.
Kedudukan orang berilmu ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan (Allah SWT meninggikan) orang yang diberikan ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan
(Surah al-Mujadalah, ayat 28
).

Sabda Rasulullah SAW, bermaksud:
dan sesungguhnya kelebihan orang berilmu berbanding orang ibadah adalah seperti kelebihan bulan berbanding kesemua bintang-bintang dan sesungguhnya ulama (orang berilmu) itu merupakan pewaris para nabi.
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Bahkan antara golongan berilmu dengan orang tidak berilmu itu tidaklah sama sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pengajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna. (Surah Az-Zumar, ayat 9).

Saya juga memahami bukan mudah berada di dalam dunia perguruan dan dunia akademik. Para pensyarah sudah pasti menghadapi permasalahan yang tersendiri dalam memastikan pengaliran maklumat kepada generasi baru berjalan lancar. Cabaran mendidik dan melahirkan mahasiswa yang dapat diharapkan kelak memang tidak dapat dinafikan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Orang yang berilmu dan penuntut ilmu saling bersekutu di dalam memperolehi kebaikan, tiadalah kebaikan yang banyak bagi manusia selaian mereka.
(Riwayat Ibn Majah).

Inilah antara kelebihan apabila berkecimpung dalam dunia kesarjanaan ini.

Dalam pada itu saya ingin sertakan juga sajak yang yang menyentuh hati hasil karya
Tokoh Sasterawan Negara, Dato' Usman Awang yang terkenal dengan nama penanya, Tongkat Warrant, iaitu:

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasaJ

ika hari ini seorang
Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG1979

Semoga semua pensyarah dan tenaga pengajar terus berada dalam keredaan Allah dan komited memperluaskan ilmu kepada pewaris baru kelak. Walaupun mungkin terdapat pelajar yang melupai para guru sekalian, namun tetap ada golongan yang konsisten mengingati jasa besar kalian, insya Allah.

04 March 2007

Cikgu oh cikgu / isu lama

PTD tidak jejas peluang pegawai pendidikan naik pangkat
03-03-2007 10:03:14 PM

KUALA LUMPUR: Kemasukan pegawai dari skim perkhidmatan lain untuk memegang jawatan tinggi dalam Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tidak akan menjejaskan peluang kenaikan pangkat pegawai perkhimatan pendidikan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Ahamad Sipon.Beliau berkata kemasukan pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) itu dalam penstrukturan semula JPN yang dibuat baru-baru ini tidak seharusnya dilihat sebagai suatu perkara yang negatif."Kita tidak seharusnya membuat kesimpulan bahawa ia akan menjejaskan peluang kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Guru kerana penstrukturan ini secara jelas telah menambah banyak perjawatan untuk PPPS dan Guru."Kemasukan pegawai dari skim perkhidmatan lain itu juga sekadar perkhidmatan sokongan untuk membantu dalam aspek tertentu sahaja seperti pembangunan, perkhidmatan dan kewangan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.Kemasukan PTD ke JPN diumumkan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein barubaru ini dan tindakan itu menerima bantahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia yang menggangap penstrukturan semula itu sebagai permulaan usaha mengambil alih semua jawatan di JPN selain menghalang peluang kenaikan pangkat guru.Ahamad berkata seluruh warga pendidik diharap dapat melihat proses penstrukturan semula itu dalam konteks yang lebih luas iaitu sebagai usaha untuk memperbaiki sistem penyampaian pendidikan di peringkat negeri."Ini termasuklah pendekatan untuk memantapkan struktur JPN dan seterusnya mewujudkan lebih banyak perjawatan yang membolehkan penambahbaikan peluang kenaikan pangkat untuk PPPS/Guru yang berkhidmat di JPN," katanya.Menurutnya penstrukturan semula JPN itu adalah memenuhi pelbagai keperluan pengurusan dan pentadbiran di peringkat negeri, khasnya dari segi pengwujudan jawatan hakiki baru, penambahan bilangan gred jawatan dan peningkatan gred beberapa jabatan pendidikan negeri.Usaha ini adalah bertujuan meningkatkan lagi keupayaan dan keberkesanan sistem penyampaian dengan memberi fokus kepada pemantapan dan peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta perkhidmatan kepada guru, katanya."Saya percaya tugas utama guru adalah untuk menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan sebaik-baiknya. Tugas dan tanggungjawab dalam bidang seperti pengurusan kewangan, pembangunan dan perkhidmatan yang boleh dianggap sebagai bidang yang menyokong proses pengajaran dan pembelajaran itu boleh dilaksanakan oleh pegawai dari kalangan bukan guru," katanya. BERNAMA