17 May 2007

Selamat Hari Guru 16 Mei

Insan cemerlang hasil didikan guru cemerlang
17-05-2007 01:25:34 PM

SAYA mewakili Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya mengucapkan selamat Hari Guru dengan tema baru ''Guru Penjana Modal Insan Cemerlang'' kepada semua guru dan tenaga pengajar di seluruh negara terutamanya para pensyarah yang bertugas mengajar tanpa kenal penat.

Saya menyedari bahawa semua pensyarah dan para guru di seluruh dunia merupakan golongan mulia kerana mereka boleh dikatakan perantara antara ilmu Allah/Tuhan dengan manusia. Mereka umpama lilin yang membakar dan menyusahkan diri saban waktu memikirkan kecemerlangan para pelajar seperti kami sebagai mahasiswa atau pelajar.

Dalam hal ini jelas bahawa menurut kepercayaan Islam kedudukan orang yang berilmu ini ditinggikan oleh Allah SWT dengan beberapa darjat berbanding golongan lain.
Kedudukan orang berilmu ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan (Allah SWT meninggikan) orang yang diberikan ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan
(Surah al-Mujadalah, ayat 28
).

Sabda Rasulullah SAW, bermaksud:
dan sesungguhnya kelebihan orang berilmu berbanding orang ibadah adalah seperti kelebihan bulan berbanding kesemua bintang-bintang dan sesungguhnya ulama (orang berilmu) itu merupakan pewaris para nabi.
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Bahkan antara golongan berilmu dengan orang tidak berilmu itu tidaklah sama sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pengajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna. (Surah Az-Zumar, ayat 9).

Saya juga memahami bukan mudah berada di dalam dunia perguruan dan dunia akademik. Para pensyarah sudah pasti menghadapi permasalahan yang tersendiri dalam memastikan pengaliran maklumat kepada generasi baru berjalan lancar. Cabaran mendidik dan melahirkan mahasiswa yang dapat diharapkan kelak memang tidak dapat dinafikan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Orang yang berilmu dan penuntut ilmu saling bersekutu di dalam memperolehi kebaikan, tiadalah kebaikan yang banyak bagi manusia selaian mereka.
(Riwayat Ibn Majah).

Inilah antara kelebihan apabila berkecimpung dalam dunia kesarjanaan ini.

Dalam pada itu saya ingin sertakan juga sajak yang yang menyentuh hati hasil karya
Tokoh Sasterawan Negara, Dato' Usman Awang yang terkenal dengan nama penanya, Tongkat Warrant, iaitu:

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasaJ

ika hari ini seorang
Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG1979

Semoga semua pensyarah dan tenaga pengajar terus berada dalam keredaan Allah dan komited memperluaskan ilmu kepada pewaris baru kelak. Walaupun mungkin terdapat pelajar yang melupai para guru sekalian, namun tetap ada golongan yang konsisten mengingati jasa besar kalian, insya Allah.

No comments:

Post a Comment