Isu rumah terbengkalai ni memang sangat sensitif bagi saya. Salah satu projek perumahan yang ditulis didalam artikel dibawah, saya salah seorang pembeli yang malang itu. Bayangkan saya terpaksa membayar RM970.00 setiap bulan tetapi rumah tidak dapat diduduki. Aduan demi aduan dibuat tetapi tindakan tidak diambil. Janji hanya tinggal janji. Kepada siapa lagi kami hendak mengadu??
Kementerian akan rendahkan faedah pembeli rumah terbengkalai
14-06-2008 08:36:18 PM
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengadakan perbincangan dengan pihak bank agar kadar faedah yang dikenakan kepada pembeli rumah yang projeknya terbengkalai dapat dikurangkan.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Hamzah Zainudin berkata langkah itu bagi mengurangkan beban pembeli rumah yang terpaksa menanggung pembayaran walaupun projek perumahan itu masih tergendala.
"Saya akan bincang dengan bank dan saya percaya interest yang dikenakan dapat dikurang atau diberi penjadualan semula pembayaran," katanya kepada pemberita selepas melawat lima tapak projek perumahan yang dimajukan Talam Coperation Berhad yang terbengkalai sejak tahun 2003 di sekitar Puchong dan Seri Kembangan.
Lima projek itu ialah Taman Lestari Perdana, Taman Lestari Puchong, Taman Lestari Permai, Saujana Puchong dan Saujana Putra.
Hamzah turut mengingatkan semua pemaju perumahan agar tidak membuat sesuatu yang boleh merugikan pembeli seperti projek perumahan yang tidak dapat diteruskan ataupun menaikkan harga rumah. "Kalau didapati, mereka (pemaju) ini akan di blacklist (senarai hitam) dan diambil tindakan," katanya.
Lawatan ke Taman Lestari Permai turut dihadiri sekurang-kurangnya 150 pembeli rumah projek perumahan itu, yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila projek yang dijadual siap sepenuhnya pada 2006 masih terbengkalai.
Sementara itu, Hamzah berkata kementerian akan mengetatkan lagi akta-akta yang terkandung di dalam Dasar Perumahan Negara (DPN) untuk mengelakkan berlakunya projek perumahan terbengkalai.
"Apabila perkara itu mendapat persetujuan dari semua pihak yang terlibat dalam industri perumahan, ia akan kita (kementerian) kemukakan kepada jemaah menteri akhir tahun ini," katanya.
Beliau berkata hanya satu peratus atau 50,000 unit rumah terbengkalai di seluruh negara setakat ini manakala 270 projek perumahan tergendala dan hanya 141 projek dapat digerakkan semula.
"Semua projek perumahan yang terbengkalai akan dibaik pulih semula dan yang penting, kita (kementerian) harap pembeli akan mendapat rumah mereka secepat mungkin," katanya. BERNAMA
No comments:
Post a Comment