30 July 2009

Kisah Manusia


Salam,

Dah lama saya tidak menulis disini. banyak cerita yang nak dikongsi tetapi setiap kali mengadap komputer mood hilang tiba-tiba.

Oklah kali ni saya hendak kongsi cerita pasal ragam manusia. Ragam manusia ini macam-macam tetapi yang paling saya benci ialah mereka yang suka menonjolkan diri dengan memburukkan orang lain.

Kisah 1:
Saya namakan Pn.Besar, Pn.Kecik dan Pn.Kenit
Pn Kenit selalu sangat menceritakan keburukan Pn Besar, kepada Pn Kecik, pada beliau tiada sekelumit kebaikan yang ada pada Puan Besar. Daripada cara pecakapan, berpakaian dan masakan semuanya buruk belaka.Tamak haloba, perasan cantik, jaga tepi kain itulah gambaran Pn Besar. Pn Kecik tidak pula mengia dan menidakkan segala cerita yang disampaikan oleh Pn Kenit. Dia ambil jalan tengah. Dengar dan lihat. Semetelah Pn Kecik tidak ada masalah dengan Pn Besar. Pn Kecik bukan jenis yang suka mencari masalah, bagi orang lain yang melihat, dikatanya Pn Kecik jenis bodoh-bodoh gitu..

Prinsip Pn Kecik pula, asal aku tidak menyusahkan orang dan diri sendiri sudahlah. Katalah apa orang suka , semuanya itu tidak menaikan darjat yang mengata dan tidak mengurangkan kedudukan yang dikata.

Sebagaimana yang dijangka oleh Pn Kecik, bila sudah lama bergaul dengan Pn Kenit, terser perangai sebenar Pn Kenit. Rupa-rupanya Pn Kenit,jenis yang tidak boleh melihat orang lain lebih daripada dia, suka berbangga tidak bertempat dan palimg mudah , suka merendah-rendahkan orang lain. Agak-agaknya bagaimana sikap Pn Kenit jika suaminya dipuncak kuasa? Mungkin semua sikap Pn Besar yang selalu dijajanya itu melekat pada dirinya malah lebih teruk daripada itu. Itulah sikap manusia, paku dulang paku serpihmengata orang dia yang lebih.

Kisah 2,

Pn X, Pn Y dan Pn Z

Pn X seorang yang ceria. Keceriaan dan kepandaiannya bersosial memang tidak boleh dinafikan. Tambahan Pn X pandai bergaya mengikut waktu dan majlis. Beliau mampu menarik perhatian ramai, baik lelaki maupun perempuan didalam mana-mana majlis. Ceritanya ceria ketawanya lunak dan senyumannya sentiasa manis.

Sayangnya, sikap Pn X selalu menyalahkan orang lain jika dia tidak mendapat sesuatu yang dihajatinya. Dengan kata-kata yang lembut beliau menuduh anu bt anu dia gagal,sebab polan bt polan dalam kumpulannya menyebabkan dia kalah dan lain-lain lagilah. Pokoknya tiada cacat cela bagi diri beliau. Bila kita terlalu positif boleh membawa kepada sifat riak. Iman dan adab perlu seiring.

Pn Y

Pn Y ini seorang yang pendiam. Rupa-rupaya diam berisi. Memandangkan sifat dia yang pendiam ramai yang suka mengadu hal peribadi kepada beliau. Bertelefon berjam-jam mengadu masalah dia sanggup mendengar. Tetapi siapa sangka dalam diam-diam juga, dia menyampaikan rahsia-rahsia yang diamanahkan kepadanya kepada orang-orang lain.

Akhirnya bila rahsia-rahsia yang diamanahkan terbongkar, berlakulah perang mulut yang dahsyat di abad siber ini. Waktu itu hilang segala perasaan malu, maruah diri diletak ketepi. Pn Y hanya mendiamkan diri, maklumlah sifatnya memang pendiam. Tanpa rasa bersalah beliau menyalahkan semua orang yang suka mencurah rahsia kepadanya. Entahlah, perangai manusia ini sukar ditelah.

Pn Z

Pn Z ini suaminya terkenal dengan perangai panas baran. Pn Z mungkin malu dengan perangai suaminya.Maklumlah suaminya tidak segan silu mengeluarkan perkataan F dikhalayak ramai. Dengan sikap suaminya itu Pn Z selalu memendam rasa dengan suaminya, tetapi berlainan pula sikap Pn Z apabila berhadapan dengan kawan-kawan. Mungkin suaminya selalu mengarah dan merendah-rendahkan dirinya, begitulah pula Pn Z lakukan kepada kawan-kawan disekelilingnya. Mungkin untuk melepaskan perasaan geram apabila diperlakukan begitu oleh suaminya.

Iktibarnya:
Orang lain boleh melihat dan menilai kebaikan dan keburukan diri kita,oleh itu berdampinglah dengan orang-orang yang mempunyai sifat-sifat mahmudah, insyaalah sifat itu akan meresap kedalam diri kita.
Letakkan batas sempadan dengan mereka yang bersifat mazmumah, jika mampu tegur dimana perlu, jika tidak mampu cukuplah sekadar kita mendoakan agar dibukakan hati kita dan hati mereka untuk kebaikkan.
Jangan sekali-kali memutuskan tali silaturrahim kerana sesungguhnya silaturrahim adalah rezeki.Juga, jangan sekali-kali kita membenci seseorang atas fizikalnya tetapi bencilah perbuatanya.
Jika terjadi perselisihan dalam apa juga permasalahan, kembalilah kepada Islam.

No comments:

Post a Comment