Remaja terpesong salah siapa?
20-03-2007 03:11:22 PM
Shah A. Dadameah
REMAJA masakini memang jauh lebih berani daripada generasi ibubapa dan nenek moyang mereka dalam mencuba semua perlakuan dan perkara-perkara yang aneh.Menindik telinga dan hidung mungkin suatu perkara yang lazim di lakukan di kalangan sesetengah kaum kerana itu sebahagian daripada budaya mereka.Tapi kini ramai anak muda kita yang mencucuk lidah, perut dan bahagian-bahagian tubuh yang lain termasuklah di tempat-tempat yang lebih sulit.Mereka bukan setakat menggunakan subang atau anting-anting tetapi keakadang juga menggunakan butang, pin dan apa saja yang boleh dicucuk ke tubuh.Dandanan rambut yang berbagai warna, bukan sekadar untuk menutup uban atau sebagai kaedah rawatan tapi untuk menarik perhatian pada kecantikan atau ketampanan mereka.Dan bila bercakap, tanpa perasaan malu atau segan, perbualan mereka akan diselitkan dengan sebutan ‘f***’ dan kata-kata lucah dan mencarut.Pakaian mereka dipengaruhi fesyen daripada video muzik Barat dan gaya hidup majalah hiburan dan riadah mereka pula apa saja yang lasak, ekstrim, agresif dan ranjang.Ramai remaja sekarang akan melukis tatoo (ukiran hiasan berdakwat) pada tubuh badan mereka dalam pelbagai bentuk dan gaya.Bagi mereka yang sudah biasa dengan gaya hidup sedemikian, tentunya merasakan tidak ada apa-apa yang salah dengan apa yang mereka lakukan baik dari segi pakaian, muzik, tarian dan aksi yang diperagakan.Kalau inilah keadaannya sekarang, tidakkah kita bimbang perkara-perkara yang lebih aneh mungkin akan berlaku di masa depan dan akan diterima sebagai "biasa"?Di majlis penyampaian Anugerah Academy di Hollywood baru-baru ini, penyanyi rock Melissa Etheridge kelihatan mengucup bibir seorang wanita sebelum naik pentas untuk menerima Oscar untuk lagunya, I Need To Wake Up, dari filem dokumentari An Incovenient Truth, yang diumumkan sebagai lagu terbaik.Dalam ucapan penerimaannya, Etheridge memberi penghargaan kepada wanita tadi, yang beliau gelar "isteri saya".Peminat yang mengikuti perkembangan dunia hiburan tentu tahu bahawa beliau dan pelakon Tammy Lynn Michaels adalah dua orang wanita yang hidup bersama sebagai pasangan suami isteri.Pada audien Hollywood, ini perkara biasa tapi di Malaysia – buat ketika ini –ia sesuatu yang jelek.Tidak keterlaluan untuk membuat kesimpulan bahawa sekiranya remaja kita sering melihat, mendengar dan memerhati gelagat-gelagat dan imej-imej begini akan sedikit sebanyak terpengaruh dan akan turut meniru apa yang terpahat di dalam minda mereka.Kalau remaja itu dari keluarga yang kaya, mungkin ia tidak mendatang banyak masalah kepada pengamal-pengamalnya. Tapi, jika ia daripada keluarga yang susah, ia akan merasa tekanan yang amat banget hingga sanggup mencuri, menjual dadah, menjual tubuh atau memeras-ugut semata-mata untuk mendapatkan wang bagi memenuhi keinginannya untuk diterima sebagai orang moden, berfesyen dan trendy. Kebelakangan ini, saya mendengar banyak rungutan dan ketidakpuasan hati cara hidup teruna dara di masa kini.Di dalam suatu khutbah Jumaat, imam menasihatkan jemaah masjid supaya "tengok-tengok anak kamu."Pada suatu majlis agama pula, seorang penceramah megupas bahaya yang mungkin berlaku dari pengaruh MTV, internet dan lambakan penulisan lucah di pasaran.Di sebuah stesen radio, seorang tamu siaran menyatakan tidak elok untuk para remaja menyanjung tinggi selebriti-selebriti yang cuma nak menunjuk-nunjukkan hiasan mewah, bergosip dan melibatkan diri dalam skandal.Di dalam suatu forum, ahli panel berbincang trend sekarang boleh melalaikan anak muda hingga lupa daratan.Jadi apakah tindakan yang munasabah yang perlu diambil?Misalnya, adakah kita berupaya nak melenyapkan program-program TV yang disiarkan oleh satelit yang canggih? Dalam hal ini, banyak pihak menuding jari dan menyalahkan pihak lain ke atas apa yang sedang berlaku.Sudah tentu, yang sering memberi pendapat dan pandangan ialah orang politik dan aktvis-aktivis hak kemanusiaan yang selalu bercakap pasal bahaya rasuah, pentadbiran tulus dan hak asasi di dalam perlembagaan.Kalau berbincang masalah remaja, mereka sering menyalahkan ibu bapa, pihak sekolah, penguatkuasa dan media.Namun, bila seseorang ulama menjelaskan masalah ini dengan nas-nas Al-Quran atau hadis, orang politik dan orang dari pertubuhan bukan kerajaan inilah yang pertama membidas pendapat ulama itu.Cepat-cepat mereka menyanggah pandangan asal mereka dan bertanya balik kepada golongan ulama: "Bukankah ini satu amalan demokrasi. Di mana bahayanya?"Pembaca budiman, saya tidak berani menyatakan saya ada penyelesaian kepada segala masalah yang dipertengahkan di pojok ini.Saya percaya kebanyakan ugama melarang dan tidak merestui anak remaja mereka mencuba perkara-perkara yang berunsur lucah dan keji.Namun, ramai telah meninggalkan pegangan ugama mereka dan menggunakan demokrasi ciptaan manusia sebagai prinsip utama.Sebagai seorang Muslim yang masih belum lengkap pengetahuannya, saya cuma boleh mengingatkan orang Islam agar jangan cepat melatah bila ulama bercakap dan peganglah kepada prinsip amal makruf, nahi mungkar. Allah wa’alam.
No comments:
Post a Comment