28 June 2017

Empat Syawal 1438H

Salam,

Diam tak diam hari ini telah masuk 4 Syawal 1438 bersamaan Rabu 28 Jun 2017. Sekejab sangat. Memandangkan kami disini tidak ada tempat untuk berziarah raya dan tidak ada cadangan untuk bercuti kemana-mana , kami berdua ambik keputusan untuk berpuasa enam bermula semalam. Jika tiada apa-apa aktiviti yang melibatkan jamuan yang wajib dihadiri, insya Allah akan berpuasa secara terus enam hari. Yang harus boleh ditolak, memandangkan ibadat sunat ini lebih penting. Mudahkan.

Aku bersyukur sangat, pertama kali beraya tanpa Nina dan Adam, orang Istanbul sudi datang dan bermalam di rumah. Dengan kehadiran mereka dua keluarga bersama anak-anak , benar-benar mengisi ruang kosong di rumah kami. Alhamdulillah. Mereka datang bukan saja membawa diri tetapi dengan juadah raya sekali. Adat amalan hidup di perantauan. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Hari terakhir bulan Ramadan pada tahun ini 1438H, menu berbuka puasa sangat ringkas iaitu Nasi Ayam, bihun goreng dan sup gearbox. Cadangan menu ringkas pada malam itu kerana  kami ibu-ibu akan menyediakan juadah untuk hari raya keesokkan harinya. Menu raya kami ialah, nasi minyak, dalca,  acar mentah,pulut kuning, rendang ayam dan daging, ayam masak merah, nasi impit dan kuah kacang, soto ayam dengan bihun, nasi impit dan spahgetti, lotong, sop gearbox. Itu makanan utama. Penyediaan makanan dibuat secara gotong-royong dan potluck. Disamping itu ada yang membawa kek, rempeyek, biskut dan lain-lain kudapan. Sungguh banyak makanan dan meriah.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun terdapat sedikit kekurangan dalam perjalanan majlis.Ini merupakan projek sulung sambutan raya disini. Insya Allah melalui pengalaman pertama sambutan akan datang boleh diperkemaskan lagi dari segi program dan pengurusannya. Insya Allah. Moga segala usaha murni ini diberkati olehNya.

25 June 2017

1 Syawal 1438H Ankara



Salam,

Hari ini  Ahad 25.6.2017 bersamaan 1 Syawal 1438 H , Hari Raya Aidilfitri  di bumi Ankara. Alhamdulillah settelah berpuasa selama 29 hari kami menyambut hari kemenangan bersama-sama sebahagian pelajar dan rakyat Malaysia yang berada Turki. Walaupun bilangan kurang dari 100 orang tapi sambutan meriah. Walaupun penat tapi berbaloi. Semuanya memberi kerjasama yang padu. para pelajar bersedia membantu tanpa apa-apa ganjaran. Apa yang mereka dapat hanyalah kegembiraan bersama-sama menyambut lebaran di perantauan.

Ramadan hari kedua puluh sembilan Ankara

 Salam,

Hari ini Sabtu 24.6.2017 bersamaan 29 Ramadan 1438H. Fajar hari ini pada pukul 3.16 pagi dan waktu Maghrib pada pukul 8.29 malam. Hari ini hari terakhir Ramadan al-Mubarak. Esok, 1 Syawal 1438H, hari kemenangan setelah sebulan berpuasa.

Bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfiti, orang Malaysia yang bekerja di Istanbul bercadang untuk turun ke Ankara untuk meraikan hari raya bersama-sama. Bukan datang sebagai tetamu tetapi sebagai keluarga yang balik kampung untuk beraya bersama-besama. Memang saya teruja, kebetulan mereka menyatakan hasrat untuk bermalam di rumah kami. Hati saya sedikit gembira memandangkan ini kali pertama kami beraya berasingan , Nina di Malaysia dan Adam di Indiana.

Pada hari sabtu dari pagi menyediakan juadah untuk berbuka, menunya ringkas Nasi Ayam sahaja kerana pada sebelah malam selepas berbuka kami perlu menyediakan juadah untuk Hari Raya. Memang sangat meletihkan namaun ada rasa ria dihati. itulah indahnya hidup diperantauan apabila silaturahim diberi keutamaan.

23 June 2017

Ramadan hari kedua puluh lapan Ankara


Salam,

Hari ini 23.6.2017, hari  Jumaat al-mubarakah penghulu segala hari, Jumaat terakhir pada bulan Ramadan tahun ini iaitu bersamaan  28 Ramadan 1438H. Fajar pada pukul 3.17 pagi dan masuk waktu Maghrib pada pukul 8.29 malam. Suhu di Ankara hari ini antara 12 hingga 29 darjah . Cuaca cerah dengan matahari yang memancar-mancar sejak pagi tadi.

Dalam mengejar 10 malam terakhir masih banyak ruang kosong yang tidak terisi dengan ibadat-ibadat sunat. Bukan mudah mendisiplinkan diri bagi memastikan diri tidak alpa dalam mengingatiNYA, mengaut sebanyak mana tawaran yang diberikan selama sebulan. Benar..hidayah hanya milikNYA. Moga-moga segala amalan yang dilakukan dari bermula Ramadan hingga kehari ini diterima dan diredhai olehNya. Kita hendaklah bersangka baik kepadaNYA.

Tanggal 28 Ramadan,  perginya ayahbonda mertua secara serentak di Madinah Munawwarah bersama 14 orang lagi jemaah umrah yang terlibat didalam kemalangan maut yang mengorbankan semua jemaah umrah seramai 16 orang. Jika dilihat secara zahirnya, pemergian mereka didalam bulan Ramadan, 10 hari terakhir yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam, dengan niat menrjakan ibadat umrah, didalam niat dan pakaian ihram menuju ke rumah Allah Baitullah. Kawasan kemalangan yang masih lagi didalam lingkungan Madinah, mereka semua disemadikan diperkuburan Baqi'. Allahu akbar!! Apalagi yang hendak difikirkan. Allah Maha Besar dan Maha Mengetahui Segala-galanya.

Ya, kami kehilangan keduanyanya secara serentak, pemergiannya akibat daripada kemalangan, tetapi jika difikirkan itu hanyalah cara penyebab kematiannya. Segala-galanya ditakdirkan oleh Allah Taala yang ramai orang impikan, pergi didalam ibadat semata-mata kerana Allah SWT. Al-Fatihah. Insya Allah muga kami bertemu semula disana, di taman-taman syurga  . Amin.

22 June 2017

Ramadan hari kedua puluh tujuh Ankara


Salam,

Hari ini Khamis 22.6.2017 bersamaan dengan 27 Ramadan 1438 H. Fajar hari ini pada pukul 3.16 pagi dan Maghrib pada pukul 8.29 malam. Cuaca mendung dengan suhu antara 13 hingga 27 darjah. Syukur kepadaMu ya Allah, memberi kemudahan nikmat cuaca yang sangat selesa untuk berpuasa sepanjang bulan Ramadan. Bagaimanakah untuk tidak bersyukur lagi dengan segala kurniaan ini.

Meskipun hari ini keluar untuk mebeli barang-barang persiapan berbuka untuk hari terakhir Ramadan dan  sambutan Aidilfitri, sedikitpun tidak terasa penat, lapar dan dahaga.

21 June 2017

Ikhlas dan Mengikhlaskan


Salam,

Perkataan ikhlas ni kita boleh jumpa dimana-mana. Ikhlas, hanya enam huruf, pendek tapi maknanya sangat besar dan mendalam. Bila disebut ikhlas maknanya kita membuat atau memberi sesuatu dengan tanpa meminta atau mengharap apa-apa balasan dalam apa jua bentuk. Sama ada balasan dalam kata-kata pujian atau habuan dalam bentuk material. Ya tidak ada! apabila kita dah katakan ikhlas. Namun dalam praktiknya sejauh mana ia dipraktikkan dalam masyarakat,  khususnya masyarakat kita Melayu. Menurut Frank Swettenham yang menulis mengenai sifat-sifat Melayu dalam bukunya Malay Sketches @ Perihal Orang Melayu, antara sifat Melayu ni, jika dia memberi atau melakukan sesuatu dia mengharapkan pulangan atau balasan. Betulkah begitu?

Pada pandangan saya betul. Saya sebagai Melayu mengakui apa yang ditulis oleh Frank Swettenham itu hampir tepat. Oleh itu marilah kita belajar dan mendidik hati kita menjadi ikhlas dan kita mengikhlaskan apa yang orang buat terhadap kita. Tidak perlu mengharap apa-apa. Noktah!. Ikutlah ajaran Islam yang menyarankan apabila kita ikhlas, seolah-olah tangan kanan yang memberi tangan kiri tidak tahu. Ikhlas, semata-mata kerana Alalh. Oleh itu hanya Allah sahaja yang tahu. Alalhukalam.


Ramadan hari kedua puluh enam Ankara


Salam,

Hari ini Rabu 21.6.2017 bersamaan 26 Ramadan 1438 H. Fajar hari ini pada pukul 3.16 pagi dan maghrib pada pukul 8.29 malam. Suhu hari ini antara 11- 24 darjah. Cuaca hari ini mendung dan hujan renyai sekali sekala. Sejak Isnin lalu cuaca begini. Bagi yang berpuasa cuaca begini sangat menyenangkan.

Ramadan yang diikuti jadual yang penuh tidak terasa berlalu terlalu pantas. Ada hajat yang masih tidak kesampaian. Insya Allah dengan hari yang masih berbaki akan diusahakan sedaya mungkin.